1 Sementara Raja Nebukadnezar, raja Asyur memerintah di kota besar Niniwe, Raja Arfaksad, raja Media memerintah di kota Ekbatana.
2 Raja Arfaksad mendirikan tembok di sekeliling kota Ekbatana. Tembok itu tingginya 35 meter dan tebalnya 25 meter, dibina daripada batu pahatan, lebarnya 1.5 meter dan panjangnya 3 meter.
3 Pada setiap pintu gerbang didirikan sebuah menara setinggi 50 meter, dengan asasnya setebal 30 meter.
4 Setiap pintu gerbang tingginya 35 meter dan lebarnya 20 meter, supaya dapat dilalui oleh seluruh tentera baginda, termasuk semua pasukan tentera berjalan kaki.
5 Dalam tahun kedua belas pemerintahan baginda, Raja Nebukadnezar berperang melawan Raja Arfaksad di dataran luas di sekitar kota Ragau.
6 Raja Arfaksad mempunyai banyak sekutu, iaitu semua penduduk pergunungan, penduduk tepi Sungai Tigris, Sungai Efrat, dan Sungai Hidaspes, dan penduduk dataran yang diperintah oleh Raja Ariokh dari Elumais. Banyak bangsa lain lagi menggabungkan diri dengan tentera orang Heleud itu.