Yudit 1:5-12 BMDC

5 Dalam tahun kedua belas pemerintahan baginda, Raja Nebukadnezar berperang melawan Raja Arfaksad di dataran luas di sekitar kota Ragau.

6 Raja Arfaksad mempunyai banyak sekutu, iaitu semua penduduk pergunungan, penduduk tepi Sungai Tigris, Sungai Efrat, dan Sungai Hidaspes, dan penduduk dataran yang diperintah oleh Raja Ariokh dari Elumais. Banyak bangsa lain lagi menggabungkan diri dengan tentera orang Heleud itu.

7 Maka Raja Nebukadnezar, raja Asyur mengirim pesan kepada bangsa-bangsa lain supaya bersekutu dengan baginda. Pesan itu dikirimnya kepada semua penduduk negeri Persia, penduduk daerah barat, daerah Kilikia, Damsyik, Lebanon, dan Antilebanon, serta kepada penduduk pantai

8 dan penduduk daerah Karmel, Gilead, Galilea Utara, dan dataran besar Esdrelon.

9-10 Pesan itu dikirimnya juga kepada penduduk Samaria dan kota-kota di sekitarnya, kepada penduduk di sebelah barat Sungai Yordan hingga ke Yerusalem, Batane, Helus, dan Kades, Wadi El-Aris dan kota Tafne, Raamses serta seluruh wilayah Gosyen sampai ke kota Tanis dan Memfis, pendeknya kepada seluruh penduduk Mesir sehinggalah ke perbatasan Etiopia.

11 Tetapi penduduk di seluruh daerah itu tidak mengendahkan ajakan Raja Nebukadnezar. Mereka tidak mahu ikut berperang, kerana mereka tidak takut kepada baginda. Mereka fikir bahawa Raja Nebukadnezar tidak berdaya. Para utusan raja itu diejek dan disuruh pulang tanpa hasil.

12 Maka meledaklah kemurkaan Raja Nebukadnezar. Baginda bersumpah akan mempertaruhkan seluruh kerajaan baginda untuk menumpas semua penduduk Kilikia, Damsyik, Siria, Moab, Amon, Yudea, dan Mesir, iaitu semua bangsa yang tinggal di antara Laut Tengah dan Teluk Persia.