8 Lalu Imam Agung Yoyakim dan Majlis Ketua-Ketua Sidang Israel datang dari Yerusalem untuk menyaksikan perbuatan besar yang telah dilakukan Tuhan bagi umat-Nya. Mereka juga hendak bertemu dengan Yudit dan mengucapkan selamat kepadanya.
9 Setiba mereka di situ, mereka semua memuji Yudit dengan berkata, “Engkau kemuliaan Yerusalem! Bangsa kita Israel sangat bangga kerana engkau.
10 Seorang diri, engkau telah memperoleh kemenangan ini bagi Israel. Allah Yang Maha Kuasa memperkenankan perbuatanmu. Semoga Dia memberkati engkau seumur hidupmu.”Seluruh rakyat menjawab, “Amin!”
11 Tiga puluh hari lamanya seluruh rakyat merompak perkhemahan orang Asyur. Khemah Holofernes, semua perkakas peraknya, mangkuk-mangkuknya, dipan-dipannya dan segala perabotnya diberikan kepada Yudit. Semua itu diterimanya dan dimuatnya di atas baghalnya. Lalu dipasangnya kereta kuda-kereta kudanya dan dimuatkan juga dengan barang-barang itu.
12 Semua wanita Israel datang mengerumuni Yudit. Mereka menyanyikan pujian baginya dan menari-nari untuk menghormatinya. Yudit mengambil ranting-ranting dan membahagikannya kepada wanita-wanita yang ikut dengannya.
13 Dia dan teman-temannya memakai karangan daun zaitun di kepala. Yudit berjalan di hadapan seluruh rakyat, memimpin wanita-wanita yang sedang menari. Mereka diikuti oleh semua kaum lelaki Israel dengan karangan daun di kepala dan bersenjata lengkap sambil menyanyikan lagu-lagu pujian.
14 Lalu Yudit menyanyikan lagu kesyukuran di hadapan semua orang Israel yang hadir dan seluruh rakyat ikut menyanyikan lagu itu.