1 Khabar tentang Holofernes, panglima tinggi Raja Nebukadnezar, sampai kepada penduduk Yudea. Mereka mendengar apa yang telah dilakukannya terhadap bangsa-bangsa lain, dan bagaimana dia menjarah serta menghancurkan semua tempat pemujaan mereka.
2 Maka penduduk Yudea itu sangat ketakutan. Mereka cemas memikirkan apa yang mungkin dilakukan Holofernes terhadap Yerusalem dan Rumah Tuhan, Allah mereka.
3 Mereka belum lama pulang daripada pembuangan, dan baru sahaja umat Yehuda berkumpul kembali. Lagi pula Rumah Allah berserta perlengkapan dan mazbahnya baru sahaja disucikan semula daripada pencemaran.
4 Oleh sebab itu mereka mengirim khabar ke seluruh wilayah Samaria dan ke kota-kota Kona, Bet-Horon, Belmain, Yerikho, Hoba, Aisora, dan Lembah Salem.
5 Lalu mereka segera menduduki puncak gunung-gunung yang tinggi dan memperkuat desa-desa di pergunungan. Mereka juga mengumpulkan bekalan makanan sebagai persiapan perang, oleh sebab mereka baru sahaja mengumpulkan hasil dari ladang-ladang mereka.