4 Oleh sebab itu mereka mengirim khabar ke seluruh wilayah Samaria dan ke kota-kota Kona, Bet-Horon, Belmain, Yerikho, Hoba, Aisora, dan Lembah Salem.
5 Lalu mereka segera menduduki puncak gunung-gunung yang tinggi dan memperkuat desa-desa di pergunungan. Mereka juga mengumpulkan bekalan makanan sebagai persiapan perang, oleh sebab mereka baru sahaja mengumpulkan hasil dari ladang-ladang mereka.
6 Imam Agung Yoyakim, yang pada waktu itu ada di Yerusalem, menulis kepada penduduk kota-kota Betulia dan Betomestaim yang letaknya berhadapan dengan lembah Esdrelon dekat dengan Dotaim.
7 Dia menyuruh mereka menduduki semua jalan di pergunungan yang menuju ke Yudea. Di situ lebih mudah menahan serangan, oleh sebab semua jalan masuk itu sempit dan hanya dapat dilalui oleh dua orang sahaja.
8 Orang Israel melakukan perintah Imam Agung Yoyakim serta Majlis Kaum Tua-Tua yang berkedudukan di Yerusalem.
9 Kemudian orang Israel berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Allah dan giat berpuasa.
10 Semua orang Israel, anak isteri mereka, ternakan mereka, orang upahan dan hamba sahaya mereka, serta orang asing yang tinggal menetap bersama dengan mereka, memakai kain guni tanda bersedih.