1 Holofernes, panglima tinggi tentera Asyur, mendengar bahawa orang Israel bersiap-siap untuk bertempur. Mereka sudah menutup jalan-jalan di pergunungan, memperkuat pertahanan di puncak-puncak gunung dan memasang rintangan di dataran.
2 Maka meluaplah kemarahan Holofernes. Dipanggilnya semua pemimpin Moab, para panglima Amon dan semua gabenor daerah di sepanjang pantai Laut Tengah.
3 Dia berkata kepada mereka, “Kamu tinggal di Kanaan. Oleh sebab itu ceritakanlah kepadaku tentang bangsa yang tinggal di pergunungan itu. Kota-kota manakah yang didiami oleh mereka? Berapakah jumlah pasukan mereka dan apakah sumber kekuatan dan kuasa mereka? Siapakah raja yang mengetuai tenteranya?
4 Daripada semua bangsa di barat, mengapa hanya mereka yang tak datang untuk bertemu dengan aku?”
5 Lalu Akhior, pemimpin bangsa Amon, menjawab begini, “Sudilah tuan mendengarkan cerita saya tentang orang yang mendiami pergunungan dekat dengan khemah tuan itu. Saya tak berbohong kepada tuan.
6 Mereka keturunan orang Babilonia,
7-8 yang meninggalkan adat istiadat nenek moyang mereka dan menyembah Allah Yang Maha Tinggi yang dikenali oleh mereka. Kemudian mereka diusir dari negeri mereka kerana tak mahu menyembah dewa-dewa nenek moyang mereka. Lalu mereka lari ke Mesopotamia dan tinggal lama di sana.