1 Sejarah ini bermula apabila Raja Aleksander, anak Filipus dari Makedonia, berangkat dari Makedonia dan menyerang Raja Darius, raja Persia dan Media. Baginda mengalahkan Raja Darius dan merebut takhtanya, dan dengan demikian memperluas kerajaan Yunani.
2 Baginda melancarkan banyak peperangan; kota-kota berkubu direbutnya dan raja-raja negeri yang ditawannya dibunuh.
3 Baginda mara sampai ke hujung-hujung bumi dan merompak banyak bangsa. Seluruh dunia tidak berdaya terhadap baginda. Maka baginda menjadi sombong dan angkuh.
4 Baginda mengumpulkan tentera yang kuat dan menjajah banyak negeri, bangsa dan penguasa, dan mereka diharuskan membayar cukai kepada baginda.
5-7 Setelah memerintah selama dua belas tahun, Raja Aleksander gering dan berasa kemangkatannya sudah sampai. Maka baginda memanggil para panglima terkemuka yang dididik bersama-sama baginda sejak kecil dan membahagi-bahagikan kerajaan baginda kepada mereka.
8 Setelah Raja Aleksander mangkat, para panglima baginda mengambil alih kerajaan, dan berkuasa di wilayah masing-masing.
9 Masing-masing menabalkan diri menjadi raja. Keturunan raja-raja itu memerintah bertahun-tahun dan banyak mendatangkan kesengsaraan di dunia.
10 Antiokhus Epifanes ialah putera Raja Antiokhus yang Ketiga dari Siria, keturunan salah seorang panglima Raja Aleksander. Antiokhus Epifanes itu jahat dan pernah menjadi tawanan di Roma, sebelum menjadi raja dalam tahun 137.
11 Pada waktu itu di Israel muncul sekelompok orang yang tidak mempedulikan Taurat Musa dan mempunyai pengaruh buruk terhadap banyak orang. Mereka berkata, “Lebih baik kita mengadakan perjanjian dengan bangsa-bangsa jiran kita. Keengganan kita untuk bergaul dengan mereka, hanya membawa kesusahan kepada kita.”
12 Usul itu disambut baik.
13 Beberapa orang antara mereka rela menghadap raja, dan raja mengizinkan mereka untuk mengikut adat istiadat bangsa-bangsa lain.
14 Di Yerusalem mereka membina sebuah stadium seperti yang terdapat di kota-kota Yunani.
15 Mereka menghilangkan bekas sunat mereka dan meninggalkan perjanjian dengan Allah. Mereka bergabung dengan bangsa-bangsa asing dan melakukan kejahatan.
16 Ketika Raja Antiokhus melihat bahawa pemerintahan baginda sudah mantap, baginda berniat menakluki Mesir dan memerintah negeri itu juga.
17 Baginda menyerbu Mesir dengan sebuah armada yang besar dan tentera yang kuat, termasuk kereta kuda-kereta kuda perang dan gajah-gajah.
18 Dalam serangan itu Raja Ptolemeus, raja Mesir dikalahkan; Ptolemeus melarikan diri dan antara para askar baginda, banyak yang gugur.
19 Raja Antiokhus berjaya merebut kota-kota berkubu di Mesir dan merompak seluruh negeri.
20 Sesudah Mesir dikalahkan dalam tahun 143, Raja Antiokhus kembali, dan dengan tentera yang amat besar baginda menyerbu negeri Israel dan kota Yerusalem.
21 Dengan bongkaknya baginda masuk ke dalam Rumah Allah dan mengambil mazbah emas, kaki pelita dengan segala perlengkapannya,
22 meja untuk roti sajian, cawan-cawan dan mangkuk-mangkuk, pedupaan daripada emas, tirai dan mahkota-mahkota. Semua perhiasan emas di bahagian hadapan Rumah Allah juga direnggutnya.
23 Baginda mengambil apa sahaja daripada emas dan perak serta semua barang berharga dan harta tersembunyi yang ditemukannya di situ.
24 Semuanya diangkut baginda ke negerinya sendiri. Baginda telah membunuh banyak orang dan dengan sombong menghebahkan apa yang dilakukannya.
25 Di seluruh Israel, orang ditimpa kesedihan besar.
26 Para penguasa dan tua-tua berkeluh-kesah,pemuda dan pemudi kita merana,kaum wanita kehilangan kecantikan mereka.
27 Setiap mempelai lelaki menyanyikan lagu ratapandan pengantin wanita berkabung di biliknya.
28 Seluruh rakyat Israel berasa malu,negeri kita goyah kerana penduduknya.
29 Dua tahun kemudian, Raja Antiokhus mengirim seorang ketua pemungut cukai ke kota-kota di Yudea. Dia datang ke kota Yerusalem dengan sepasukan tentera yang besar,
30 dan bercakap ramah dengan rakyat. Dia berpura-pura menawarkan perjanjian perdamaian, dan rakyat percaya kepadanya. Tiba-tiba dia menyerang kota itu dan menyebabkan kerosakan yang teruk; banyak orang Israel binasa.
31 Kota dirompak lalu dibakar; rumah-rumah dan seluruh tembok kota dirobohkan.
32 Ternakan dirampas dan kaum wanita serta anak-anak diangkut sebagai tawanan.
33 Kemudian bahagian kota di sebelah utara Rumah Tuhan diperkuat dengan tembok-tembok yang tinggi dan kukuh serta menara-menara yang sangat kuat, dan tempat itu dijadikan kubu mereka.
34 Di situ mereka menempatkan sekelompok pemberontak Yahudi yang berdosa dan pelanggar-pelanggar hukum untuk memperkuat pertahanan.
35 Mereka juga memasukkan senjata dan makanan serta semua barang rampasan dari Yerusalem. Kubu itu merupakan ancaman besar bagi kota.
36 Kubu itu menjadi ancaman bagi Rumah Tuhan,musuh jahat yang terus mengadang Israel.
37 Orang yang tidak bersalah dibunuh di sekeliling mazbahyang dicemarkan oleh penumpah darah.
38 Penduduk Yerusalem lari ketakutandan kota itu menjadi kediaman orang asing.Yerusalem menjadi asing bagi penduduknya sendiriyang terpaksa meninggalkannya.
39 Rumah Tuhan sepi seperti padang gurun,hari-hari perayaannya menjadi hari perkabungan.Hari Sabat menjadi kehinaan,kehormatannya menjadi bahan tertawaan.
40 Penghinaannya sekarang sebesar kemuliaannya dahulu;keagungannya sudah menjadi perkabungan.
41-42 Kemudian Raja Antiokhus mengeluarkan perintah yang mewajibkan semua bangsa dalam wilayah kerajaan baginda untuk meninggalkan adat istiadat masing-masing dan menjadi satu bangsa. Semua bangsa asing mentaati perintah itu.
43 Antara orang Israel pun banyak yang memeluk agama baginda, dan mempersembahkan korban kepada berhala-berhala serta melanggar peraturan istirahat pada hari Sabat.
44 Raja juga mengirim utusan ke Yerusalem dan ke kota-kota di Yudea dengan surat perintah yang mewajibkan semua orang untuk mengikut adat istiadat asing.
45 Mereka dilarang mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan, korban untuk mengucap syukur kepada Tuhan, dan korban wain di Rumah Allah, dan memerintahkan mereka untuk menghapuskan hari Sabat dan semua perayaan,
46 serta mencemar Rumah Allah dan pelayan-pelayannya.
47 Mereka dipaksa membuat mazbah-mazbah dan kuil-kuil tempat pemujaan berhala serta mempersembahkan babi dan binatang haram yang lainnya.
48 Mereka dilarang menyunat anak-anak mereka dan disuruh mencemar diri dengan cara apa sahaja,
49 supaya lupa akan Taurat Musa dan meninggalkan adat istiadat.
50 Orang yang melanggar peraturan raja harus dihukum mati.
51 Raja menetapkan peraturan itu bagi seluruh kerajaannya. Baginda melantik pengawas-pengawas di mana-mana dan memerintahkan supaya di setiap kota di Yudea dipersembahkan korban kepada dewa-dewa.
52 Banyak orang Yahudi bersedia meninggalkan Taurat dan mentaati pengawas-pengawas itu. Mereka mencemarkan negeri dengan kejahatan mereka,
53 dan kelakuan mereka memaksa orang Israel yang baik untuk bersembunyi di mana sahaja.
54 Pada tarikh lima belas bulan Kislew tahun 145, Raja Antiokhus menempatkan “Bencana Yang Dahsyat” di atas mazbah di Rumah Tuhan. Di kota-kota di seluruh Yudea didirikan mazbah-mazbah untuk dewa-dewa.
55 Di hadapan pintu rumah-rumah dan di jalan-jalan, pembakaran korban dilakukan.
56 Setiap kitab Taurat yang ditemukan dikoyak dan dibakar,
57 dan sesiapa sahaja yang didapati menyimpan kitab suci atau mentaati Taurat, dihukum mati atas perintah raja.
58 Berbulan-bulan orang yang kejam menggunakan kekuasaan mereka terhadap orang Israel yang terdapat di kota-kota.
59 Pada tarikh dua puluh lima bulan itu korban dipersembahkan oleh mereka di mazbah dewa yang ditempatkan di atas mazbah di Rumah Tuhan.
60 Ibu-ibu yang menyunatkan anak mereka dihukum mati sesuai dengan perintah raja,
61 dan bayi-bayi digantung pada leher. Kaum keluarga mereka dan orang yang telah melakukan sunat juga dihukum mati.
62 Tetapi ada banyak orang Israel yang dengan tegasnya menentang peraturan raja dan tidak mahu makan makanan yang najis.
63 Mereka lebih suka mati daripada melanggar perjanjian Tuhan dengan makan makanan yang haram. Banyak di kalangan mereka mati dibunuh.
64 Israel ditimpa kemurkaan Allah dan mereka sangat menderita.