1 Makabe 7 BMDC

Alkimus Menjadi Imam Agung

1 Dalam tahun 151 Demetrius putera Seleukus berangkat dari kota Roma. Bersama dengan beberapa orang, baginda mendarat di sebuah kota di pantai Laut Tengah, dan di situ baginda menabalkan diri menjadi raja.

2 Ketika baginda masuk ke istana nenek moyang baginda, pasukan baginda menangkap Antiokhus yang Kelima dan Lisias dengan maksud membawa mereka kepada Demetrius.

3 Tetapi apabila Demetrius mendengar hal itu, baginda berkata, “Beta tak mahu melihat mereka.”

4 Lalu mereka dibunuh oleh pasukan tersebut dan Demetrius menaiki takhta.

5 Kemudian semua orang Israel yang telah mengkhianati Allah menghadap Demetrius. Mereka dipimpin oleh Alkimus yang ingin menjadi Imam Agung.

6 Di hadapan raja mereka menuduh bangsa mereka sendiri. Kata mereka, “Yudas dan saudara-saudaranya sudah membunuh semua orang yang menyokong tuanku. Kami pun diusir dari negeri kami.

7 Sudilah kiranya tuanku mengirim seorang yang dapat dipercayai untuk memeriksa kerugian yang telah didatangkannya terhadap kami dan terhadap wilayah tuanku, lalu menghukum Yudas, saudara-saudaranya, dan semua orang yang membantu mereka.”

8 Lalu Demetrius memilih seorang sahabat baginda yang bernama Bakhides, gabenor Siria Besar. Dia orang yang paling penting dalam kerajaan dan setia kepada raja.

9 Bakhides diutus bersama dengan Alkimus, orang jahat yang telah diberi jawatan Imam Agung oleh raja. Mereka diperintahkan untuk membalas dendam terhadap orang Yahudi.

10 Mereka meninggalkan Antiokhia dengan pasukan yang besar, lalu tiba di Yudea. Bakhides mengirim beberapa orang utusan yang dengan tipu muslihat mengajukan usul perdamaian kepada Yudas dan saudara-saudaranya.

11 Tetapi apabila Yudas melihat tentera mereka yang besar, dia tidak percaya akan apa yang dikatakan para utusan itu.

12 Sekelompok ahli Taurat Musa menemui Alkimus dan Bakhides untuk meminta keadilan.

13 Semua orang salih itu orang Yahudi pertama yang berusaha untuk berdamai dengan Alkimus dan Bakhides.

14 Mereka berfikir, “Alkimus imam keturunan Harun telah datang bersama-sama pasukan itu. Dia tak akan berbuat jahat terhadap kita.”

15 Bakhides juga bercakap ramah dengan mereka. Bahkan dia bersumpah, “Kami tak bermaksud jahat terhadap saudara-saudara dan sahabat-sahabat saudara.”

16 Tetapi setelah mendapat kepercayaan mereka, dia menangkap 60 orang daripada mereka. Mereka semua dibunuh pada hari yang sama, seperti tertulis dalam Alkitab,

17 “Darah orang salih ditumpahkan, dan mayat mereka berselerak di sekeliling Yerusalem, dan tidak ada sesiapa pun yang menguburkan mereka.”

18 Sesudah kejadian itu Alkimus dan Bakhides sangat ditakuti oleh seluruh rakyat. Mereka berkata, “Kedua-dua orang itu tak tahu apa makna kebenaran dan keadilan. Mereka memberi jaminan dengan bersumpah dan kemudian mengingkari sumpah mereka sendiri.”

19 Kemudian Bakhides meninggalkan Yerusalem dan mendirikan perkhemahan di Betzeta. Dia memberi arahan untuk menangkap banyak orang Yahudi dan juga orang yang memihak kepadanya serta sejumlah orang daripada kalangan rakyat dan memerintahkan supaya mereka semua dibunuh dan dibuang ke perigi yang dalam.

20 Lalu Bakhides melantik Alkimus untuk memimpin wilayah itu. Dia juga meninggalkan pasukan-pasukan untuk membantu Alkimus, dan dia sendiri kembali kepada raja.

21 Kemudian Alkimus mula memperjuangkan kedudukannya sebagai Imam Agung.

22 Dia disokong oleh semua orang Yahudi yang suka mengacau bangsanya. Mereka berjaya menguasai negeri Yudea dan mendatangkan banyak kesulitan kepada orang Yahudi.

23 Yudas menyedari bahawa kejahatan yang dilakukan Alkimus dan pengikut-pengikutnya lebih besar daripada yang dilakukan oleh orang asing.

24 Maka dia pergi menjelajah seluruh negeri Yudea untuk membalas dendam terhadap orang yang berpihak kepada kepada musuh. Dengan demikian mereka dihalang daripada meninggalkan kota-kota dan keluar ke daerah pedalaman.

25 Alkimus melihat bahawa Yudas dan anak buahnya bertambah kuat, dan dia sedar bahawa dia tidak dapat bertahan terhadap mereka. Maka dia kembali kepada raja untuk mengadukan kejahatan mereka.

Pertempuran dekat Kafarsalama

26 Kemudian raja mengutus Nikanor, salah seorang panglimanya yang terkemuka, yang membenci dan memusuhi orang Yahudi. Raja memerintahkan dia untuk menumpas bangsa itu.

27 Nikanor tiba di Yerusalem dengan pasukan yang besar. Dengan tipu daya dia menyampaikan usul perdamaian kepada Yudas dan saudara-saudaranya. Katanya,

28 “Janganlah ada peperangan antara tuan dan saya. Saya akan datang dengan beberapa orang saja untuk mengadakan kunjungan persahabatan dengan tuan.”

29 Maka datanglah Nikanor kepada Yudas dan mereka bersalam-salaman dengan ramah. Tetapi musuh-musuh Yudas sudah bersiap-siap untuk menculik Yudas.

30 Ketika Yudas mendapat tahu bahawa Nikanor datang dengan tipu muslihat, dia menjadi takut dan tidak mahu lagi bertemu dengan Nikanor.

31 Nikanor sedar bahawa rancangannya sudah diketahui. Maka dia pergi untuk bertempur melawan Yudas dekat Kafarsalama.

32 Lebih kurang 500 orang Nikanor gugur, sedangkan yang lain melarikan diri ke kubu di Yerusalem.

Rumah Allah Terancam

33 Beberapa waktu kemudian Nikanor pergi ke Bukit Sion. Beberapa orang antara imam-imam dan kaum tua-tua keluar dari Rumah Allah untuk menyambutnya dengan ramah. Mereka menunjukkan korban-korban yang dipersembahkan bagi raja, kepada mereka. Korban-korban itu adalah korban untuk menyenangkan hati Tuhan.

34 Tetapi Nikanor mencemuh, mentertawakan, dan mencela mereka. Dia bercakap dengan bongkak

35 dan bersumpah dengan marah, “Kalau kali ini Yudas dan tenteranya tidak diserahkan kepadaku, Rumah ini akan kubakar sama sekali, segera sesudah aku kembali dengan selamat.” Lalu dia pergi dengan berang.

36 Kemudian para imam masuk ke halaman dan berdiri di hadapan mazbah dan Rumah Allah. Sambil menangis mereka berdoa,

37 “Ya Tuhan, Rumah ini sudah Kaupilih supaya menjadi milik-Mu sendiri dan menjadi rumah doa dan permohonan bagi umat-Mu.

38 Sudilah Engkau membalas kejahatan orang itu dan tenteranya. Ingatlah bagaimana mereka mengkufuri Engkau. Jangan biarkan mereka tetap hidup, tetapi biarlah mereka mati dalam pertempuran.”

Nikanor Dibunuh di Daerah Adasa

39 Nikanor meninggalkan Yerusalem dan berkhemah di Bet-Horon. Di situ tentera Siria bergabung dengan dia.

40 Sementara itu Yudas berkhemah di Adasa dengan 3,000 orang. Lalu Yudas berdoa begini,

41 “Ya Tuhan, ketika utusan raja Asyur mengkufuri Engkau, malaikat-Mu tampil dan membunuh 185,000 orang daripada pasukannya.

42 Begitu juga, hendaklah Engkau menumpaskan tentera ini pada hari ini, supaya semua orang tahu bahawa Nikanor menghina Rumah-Mu yang suci. Hukumlah dia setimpal dengan kejahatannya.”

43 Pertempuran berlaku pada tarikh tiga belas bulan Adar, dan tentera Nikanor dikalahkan. Nikanor sendiri orang pertama yang gugur dalam pertempuran.

44 Ketika tenteranya melihat bahawa Nikanor sudah mati, mereka melemparkan senjata mereka dan melarikan diri.

45 Orang Yahudi mengejar mereka sepanjang hari dari kota Adasa sehingga ke kota Gezer sambil meniup trompet.

46 Seluruh penduduk daerah Yudea keluar dan menyerang musuh dari segala penjuru, sehingga musuh terdesak mundur dan jatuh ke dalam tangan orang yang mengejar mereka. Seluruh tentera musuh dibunuh dengan pedang, dan tidak seorang pun daripada mereka hidup.

47 Sesudah itu orang Yahudi mengambil barang jarahan. Mereka memenggal kepala Nikanor dan memotong tangan kanannya yang dahulu ditunjukkannya dengan bongkak. Kepala dan tangan itu digantungkan dekat Yerusalem sebagai barang tontonan.

48 Bangsa Yahudi sangat bersukacita, dan hari itu dirayakan dengan kegembiraan yang besar.

49 Untuk selanjutnya tarikh tiga belas bulan Adar ditetapkan sebagai hari perayaan yang harus diperingati setiap tahun.

50 Selama beberapa waktu negeri Yudea aman.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16