1 Makabe 15 BMDC

Antiokhus yang Ketujuh Meminta Bantuan Simon

1 Sementara itu dari kepulauan Yunani, Antiokhus putera Raja Demetrius menulis surat kepada Simon, iaitu Imam Agung serta penguasa bangsa Yahudi, dan kepada seluruh rakyat.

2 Beginilah bunyi surat itu:“Raja Antiokhus kepada Simon, Imam Agung serta penguasa bangsa Yahudi, dan kepada seluruh rakyat, salam!

3 Kerajaan nenek moyang kami telah dirampas oleh beberapa orang penjahat. Kami bermaksud merebutnya kembali dan memulihkan kejayaannya yang dahulu. Kami telah mengumpulkan tentera besar dan memperlengkapi kapal-kapal perang.

4 Kami mahu mendarat di negeri kami dan menumpaskan orang yang sudah merosak banyak kota dan menghancurkan negeri.

5 Kami mengukuhkan penghapusan cukai bagi tuan dan pembayaran-pembayaran lainnya yang sudah dihapuskan oleh raja-raja yang terdahulu daripada kami.

6 Kami memberi kuasa kepada tuan untuk mencetak mata wang sendiri untuk negeri tuan.

7 Yerusalem dan Rumah Allah tetap bebas daripada cukai. Semua perlengkapan senjata yang tuan buat dan semua kubu yang tuan dirikan dan kuasai, tetap milik tuan.

8 Selain itu semua hutang tuan kepada perbendaharaan kerajaan dan apa yang harus tuan bayar, dihapuskan untuk selama-lamanya.

9 Segera sesudah kami merebut takhta, kami akan memberi kehormatan besar kepada tuan sendiri, bangsa tuan dan Rumah Allah, sehingga menjadi termasyhur di seluruh dunia.”

10 Dalam tahun 174 Antiokhus menyerbu negeri nenek moyangnya. Banyak pasukan bergabung dengan dia, sehingga tinggal sedikit sahaja di pihak Trifon.

11 Trifon dikejar oleh Antiokhus dan lari ke kota Dor di pantai.

12 Trifon sedar bahawa tidak ada harapan baginya, oleh sebab dia sudah ditinggalkan oleh semua pasukannya.

13 Antiokhus mengepung kota Dor dengan 120,000 orang askar dan 8,000 orang pasukan berkuda.

14 Dalam serangan itu Antiokhus dibantu oleh kapal-kapalnya. Kota itu terkepung sama sekali baik dari darat mahupun dari laut, sehingga tidak seorang pun dapat masuk atau keluar.

Roma Menyokong Orang Yahudi

15 Sementara itu Numenius dan rombongannya kembali dari Roma, dengan membawa surat yang dialamatkan kepada berbagai-bagai raja dan negara. Beginilah bunyi surat itu:

16 “Daripada Lukius, konsul orang Roma, kepada Raja Ptolemeus, salam!

17 Imam Agung Simon dan bangsa Yahudi, sahabat dan sekutu kami, telah mengirim utusan untuk membaharui ikatan persahabatan dan perikatan yang dahulu.

18 Mereka membawa hadiah sebuah perisai emas seberat 44 kilogram.

19 Kami berkenan menulis kepada semua raja dan negeri supaya tidak mengganggu atau memerangi orang Yahudi, kota-kota dan negeri mereka, atau bersekutu dengan orang yang memerangi mereka.

20 Kami telah memutuskan untuk menerima perisai itu.

21 Oleh itu kalau ada pengkhianat yang melarikan diri dari negeri Yudea dan minta perlindungan di negeri tuan, serahkanlah mereka kepada Imam Agung Simon supaya dihukum menurut undang-undang mereka.”

22 Lukius menulis surat yang sama kepada Raja Demetrius, Atalus, Ariarates dan Arsakes,

23 dan juga kepada semua negeri ini: Sampsames, Sparta, Delos, Mindos, Sikion, Karia, Samos, Pamfilia, Likia, Halikarnasus, Rodes, Faselis, Kos, Side, Aradus, Gortina, Knidus, Siprus dan Kirene.

24 Salinan surat-surat itu juga dikirim kepada Imam Agung Simon.

Raja Antiokhus yang Ketujuh Memutuskan Hubungan dengan Simon

25 Raja Antiokhus berkhemah di pinggir kota Dor. Baginda menyuruh pasukannya terus-menerus menyerang kota itu dengan alat-alat penggempur buatannya sendiri. Trifon terkepung sehingga tidak dapat keluar masuk.

26 Simon mengirim 2,000 orang askar terpilih untuk membantu Raja Antiokhus. Dikirimnya juga emas dan perak dan sejumlah besar perlengkapan.

27 Tetapi Raja Antiokhus tidak mahu menerimanya. Semua perjanjian dengan Simon dibatalkannya dan baginda berbalik menjadi musuhnya.

28 Lalu Raja Antiokhus mengutus Atenobius, salah seorang sahabatnya, untuk berunding dengan Simon dan menyampaikan pesan ini: “Tuan menduduki kota Yope, Gezer dan kubu di Yerusalem, padahal kota-kota itu termasuk kerajaan kami.

29 Tuan telah merosak wilayah-wilayah itu dan mendatangkan bencana terhadap negeri. Tuan merebut kekuasaan di banyak tempat di kerajaan kami.

30 Sekarang kota-kota yang sudah tuan rebut harus tuan kembalikan, juga wang cukai yang tuan pungut dari tempat-tempat yang tuan duduki di luar wilayah Yudea.

31 Kalau tidak, tuan harus membayar 17,000 kilogram perak kepada kami, ditambah 17,000 kilogram perak lagi untuk mengganti cukai kota-kota itu dan kerosakan yang telah tuan datangkan. Kalau tuan menolak, kami akan datang memerangi tuan.”

32 Ketika Atenobius tiba di Yerusalem, dilihatnya segala kemewahan di istana Simon, dewan santapan dengan perkakas makan yang dibuat daripada emas dan perak dan banyak barang lain. Maka tercenganglah dia. Lalu disampaikannya pesan raja kepada Simon.

33 Simon menjawab, “Bukan tanah bangsa lain yang kami rebut, dan bukan milik orang lain yang kami ambil. Kami hanya mengambil tanah pusaka nenek moyang kami kembali, yang untuk sementara waktu secara tak adil dikuasai oleh musuh-musuh kami.

34 Kami menggunakan kesempatan ini hanya untuk mengambil milik pusaka nenek moyang kami kembali.

35 Tentang kota Yope dan Gezer yang tuan tuntut itu, kami bersedia membayar 3,000 kilogram perak, walaupun penduduk kota-kota itu sudah sangat merugikan negeri dan bangsa kami.”Atenobius tidak menjawab.

36 Dengan panas hati dia kembali kepada raja. Dia menyampaikan jawapan Simon dan juga menceritakan segala kemewahan di istana Simon serta segala sesuatu yang telah dilihatnya. Apabila mendengar hal itu, raja menjadi murka sekali.

Kendebeus Menyerang Yudea

37 Sementara itu Trifon naik kapal dan melarikan diri ke Ortosia.

38 Lalu Raja Antiokhus melantik Kendebeus menjadi Panglima Besar daerah pantai dan memberi dia pasukan tentera berjalan kaki dan pasukan berkuda.

39 Kendebeus diperintahkan untuk berkhemah di perbatasan Yudea dan membina kota Kidron semula, serta memperkuat pintu-pintu gerbangnya supaya raja dapat memerangi bangsa Yahudi. Sementara itu raja sendiri terus mengejar Trifon.

40 Kendebeus menuju ke kota Yamnia dan mula mengganggu orang Yahudi dengan memasuki wilayah Yudea, menangkap penduduknya serta membunuh mereka.

41 Kota Kidron dibinanya semula, lalu ditempatkannya di situ pasukan berkuda dan pasukan tentera berjalan kaki. Dengan demikian mereka dapat mengadakan serangan di jalan-jalan di Yudea seperti diperintahkan raja.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16