1 Makabe 9 BMDC

Yudas Gugur

1 Raja Demetrius mendengar bahawa Nikanor dan tenteranya sudah binasa. Lalu sekali lagi baginda mengirim Bakhides dan Alkimus ke negeri Yudea, bersama dengan tentera Siria.

2 Mereka melalui jalan menuju ke kota Gilgal, lalu mengepung dan menawan kota Maisalot di daerah Arbela dan membunuh banyak orang.

3 Dalam bulan satu tahun 152 mereka berkhemah dekat Yerusalem.

4 Dari situ mereka menuju ke Berea dengan 20,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 2,000 orang pasukan berkuda.

5 Sementara itu Yudas berkhemah di Elasa dengan 3,000 orang askar pilihan.

6 Tetapi apabila melihat pasukan musuh yang sangat besar itu, mereka sangat ketakutan. Banyak tentera Yahudi menghilangkan diri dari perkhemahan, sehingga tinggal 800 orang askar sahaja.

7 Yudas melihat bahawa tenteranya semakin berkurangan, sedangkan pertempuran sudah hampir bermula. Hatinya cemas kerana tidak ada cukup masa untuk mengumpulkan mereka semula.

8 Meskipun berkecil hati, dia berkata kepada anak buahnya yang masih ada, “Marilah kita bersiap menyerang musuh. Mungkin kita masih dapat mengalahkan mereka.”

9 Tetapi anak buah Yudas berusaha untuk mencegah dia. Kata mereka, “Tak mungkin! Lebih baik kita mundur supaya selamat. Nanti kita kembali dengan saudara-saudara kita dan bertempur melawan musuh. Sekarang kita terlalu sedikit.”

10 Yudas menjawab, “Jangan sampai aku berbuat begitu dan melarikan diri dari medan perang. Kalau memang saat kita sudah tiba, biarlah kita mati dengan gagah berani untuk saudara-saudara kita. Tapi jangan kita cemarkan kehormatan kita.”

11 Lalu tentera Siria keluar mendatangi tentera Yahudi. Pasukan berkuda mereka dipisahkan menjadi dua bahagian. Para pemanah dan penghumban tali mendahului induk tentera, begitu juga pasukan penggempur yang semuanya gagah berani.

12 Bakhides sendiri mengambil tempat di bahagian kanan. Pasukan bergerak maju dari dua sisi, sementara trompet dibunyikan. Tentera Yudas juga meniup trompet.

13 Bumi bergegar kerana bunyi gegak gempita kedua-dua pasukan yang bertempur. Pertempuran berlangsung dari pagi hingga malam.

14 Yudas melihat bahawa Bakhides dan pasukan yang paling kuat ada di sebelah kanan. Maka dia dan anak buahnya yang paling berani

15 menggempur barisan kanan tentera Siria lalu mengejar mereka sehingga ke pergunungan Asdod.

16 Tetapi ketika barisan kiri pasukan Siria melihat bahawa barisan kanan mereka sudah diserang sehingga berundur, mereka membelok dan menyerang Yudas dan anak buahnya dari belakang.

17 Mereka bertempur dengan sengit, dan pada kedua-dua belah pihak banyak yang terkorban.

18 Akhirnya Yudas gugur dan anak buahnya melarikan diri.

Yudas Dikuburkan

19 Lalu jenazah Yudas diambil oleh Yonatan dan Simon saudaranya dan dikuburkan di makam nenek moyang mereka di Modein.

20 Dia ditangisi dan diratapi oleh seluruh Israel. Berhari- hari lamanya mereka berkabung dan berkata,

21 “Tak mungkin orang yang mampu menyelamatkan Israel gugur!”

22 Kisah-kisah lainnya tentang Yudas, semua pertempurannya, tindakan kepahlawanannya dan jasa-jasanya yang besar, tidak tercatat semuanya kerana terlalu banyak untuk ditulis.

Yonatan Menggantikan Yudas

23 Selepas Yudas meninggal, orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum muncul lagi di seluruh daerah Israel dan semua orang jahat juga kembali.

24 Pada masa itu negeri itu dilanda kebuluran hebat, dan rakyat mula memihak kepada kumpulan orang jahat itu.

25 Bakhides sendiri memilih dan mengangkat beberapa orang Yahudi yang derhaka untuk memimpin negeri itu.

26 Sahabat-sahabat Yudas dibawa menghadap Bakhides, dan dia menghukum dan mencemuh mereka.

27 Masa itu penuh kesulitan bagi Israel, sesuatu yang belum pernah dialami oleh mereka sejak nabi-nabi tidak muncul lagi di kalangan mereka.

28 Kemudian sahabat-sahabat Yudas berkumpul dan berkata kepada Yonatan,

29 “Sejak Yudas abangmu meninggal, tak ada orang seperti dia yang memimpin kita melawan musuh-musuh kita dan Bakhides serta semua orang yang memusuhi bangsa kita.

30 Jadi hari ini engkau kami pilih menjadi pengganti Yudas sebagai penguasa kami untuk memimpin kami berperang.”

31 Hari itu juga Yonatan menerima tugas menjadi pemimpin menggantikan abangnya.

Yonatan di Padang Gurun Tekoa

32 Apabila Bakhides mendengar bahawa Yonatan sudah dijadikan pemimpin, dia berusaha untuk membunuhnya.

33 Maksud Bakhides itu ketahuan, lalu Yonatan dan Simon abangnya serta anak buahnya melarikan diri ke padang gurun Tekoa dan berkhemah dekat kolam Asfar. (

34 Bakhides mendengar hal itu pada hari Sabat, lalu dia dan seluruh tenteranya menyeberang Sungai Yordan.)

35 Yohanes abang Yonatan mengurus perlengkapan mereka yang banyak sekali. Dia diutus kepada orang Nabatai sahabat mereka, untuk meminta izin mengamanahkan barang-barang itu.

36 Tetapi Yohanes diserang dan ditawan oleh orang Yambri dari Madeba, dan semua barangnya dibawa lari.

37 Beberapa waktu kemudian Yonatan dan Simon mendengar bahawa orang Yambri akan merayakan suatu pesta perkahwinan secara besar-besaran. Mereka mahu menjemput pengantin wanita dari kota Nadabat dengan banyak pengiring. Pengantin wanita itu anak seorang Kanaan yang terkemuka.

38 Yonatan dan Simon ingin membalas kematian Yohanes abang mereka. Oleh itu mereka dan anak buah mereka pergi ke pergunungan dan bersembunyi di situ.

39 Mereka mengamat-amati jalan, lalu tampaklah iringan orang ramai yang membawa banyak barang. Pengantin laki-laki, sahabat-sahabatnya, dan sanak saudaranya keluar hendak menemui pihak pengantin wanita. Mereka membawa banyak kelengkapan senjata, dan diiringi orang yang bermain muzik dan memukul gendang.

40 Orang Yahudi menyerang rombongan itu dan membunuh banyak antara mereka. Yang lain melarikan diri ke pergunungan, sementara orang Yahudi merampas segala barang milik mereka.

41 Dengan demikian pesta perkahwinan itu berubah menjadi perkabungan dan lagu-lagu gembira menjadi ratapan.

42 Begitulah Yonatan dan Simon membalas kematian abang mereka. Lalu mereka kembali ke kawasan paya di tepi Sungai Yordan.

Yonatan Menyeberang Sungai Yordan

43 Bakhides mendengar khabar itu, lalu pada hari Sabat dia bersama-sama sepasukan tentera yang besar tiba di tepi Sungai Yordan.

44 Yonatan berkata kepada anak buahnya, “Sekarang kita harus bersiap-siap dan berjuang mati-matian. Belum pernah kita dalam keadaan segenting ini.

45 Musuh ada di depan dan di belakang kita. Di sebelah sini Sungai Yordan dan di sebelah sana paya dan semak belukar. Tidak ada jalan keluar bagi kita.

46 Berdoalah supaya Tuhan menyelamatkan kita daripada musuh.”

47 Lalu pertempuran bermula. Bakhides hampir dibunuh oleh Yonatan, tetapi dia mengelak.

48 Maka Yonatan dan anak buahnya melompat ke dalam Sungai Yordan dan berenang ke seberang. Tetapi musuh tidak menyeberang sungai untuk mengejar mereka.

49 Pada hari itu kira-kira 1,000 orang daripada tentera Bakhides gugur.

Bakhides Membina Kubu-Kubu; Alkimus Meninggal

50 Selepas Bakhides kembali ke Yerusalem, dia mula membina kubu-kubu di berbagai-bagai kota di Yudea, iaitu di Yerikho, Emaus, Bet-Horon, Betel, Timnat, Faraton, dan Tefon. Kubu-kubu itu diperkuat dengan tembok-tembok yang tinggi, pintu gerbang dan palang pintu.

51 Di dalam kubu-kubu itu Bakhides menempatkan tentera untuk mengganggu orang Israel.

52 Dia juga memperkukuh pertahanan kota-kota Bet-Zur dan Gezer serta kubu di Yerusalem dan menempatkan sebuah pasukan tentera dan bekalan makanan di dalamnya.

53 Lalu dia mengambil anak-anak orang terkemuka di negeri itu dan menahan mereka di dalam kubu itu sebagai tawanan.

54 Dalam bulan dua tahun 153 Imam Agung Alkimus memberi perintah untuk merobohkan tembok di halaman Rumah Allah; dengan demikian dia akan memusnahkan pekerjaan yang dahulu dipimpin oleh para nabi. Tetapi kerja perobohan yang baru sahaja dimulakan,

55 terpaksa dihentikan oleh sebab Alkimus diserang penyakit. Badannya lumpuh dan dia tidak dapat membuka mulutnya untuk bercakap. Bahkan dia tidak dapat membuat wasiat untuk keluarganya.

56 Pada saat itu juga dia meninggal dalam keadaan terseksa.

57 Apabila Bakhides mendengar bahawa Alkimus sudah meninggal, dia kembali kepada Raja Demetrius. Lalu negeri Yudea aman selama dua tahun.

Bet-Basi Dikepung

58 Kemudian semua orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum bersekongkol. Kata mereka, “Lihat, Yonatan dan anak buahnya tinggal di sini dengan aman dan tenteram. Baiklah kita panggil Bakhides supaya dia dapat menangkap mereka semua dalam waktu satu malam saja.”

59 Maka pergilah mereka berunding dengan Bakhides.

60 Lalu Bakhides datang dengan banyak pasukan tentera. Dia mengirim surat-surat rahsia kepada semua sekutunya di Yudea supaya mereka menangkap Yonatan dan pengikut-pengikutnya. Tetapi usaha itu tidak berjaya kerana komplot mereka terbongkar.

61 Yonatan dan anak buahnya menangkap lima puluh orang Yahudi yang mendalangi komplotan itu dan membunuh mereka semua.

62 Lalu Yonatan, Simon, dan pasukan-pasukan mereka melarikan diri ke Bet-Basi di padang gurun. Puing-puing kota itu dibina semula oleh mereka dan pertahanannya diperkukuh.

63 Apabila mendengar hal itu, Bakhides mengumpulkan seluruh tenteranya dan juga mengerahkan para penyokongnya di Yudea.

64 Lalu dia pergi dan mengepung kota Bet-Basi. Berhari-hari kota itu diserangnya dengan alat-alat penggempur buatan sendiri.

65 Tetapi Yonatan meninggalkan Simon abangnya di dalam kota, sedangkan dia sendiri dengan beberapa orang sahaja keluar ke pedalaman.

66 Dia menyerang Odomer dan sanak saudaranya, juga kaum Fasiron di dalam khemah-khemah mereka. Setelah dikalahkan, mereka bergabung dengan Yonatan dan mara bersama-samanya untuk menyerang Bakhides.

67 Sementara itu Simon dan anak buahnya keluar dari kota dan membakar habis semua alat penggempur.

68 Dalam pertempuran itu Bakhides dikalahkan. Dia berasa sangat geram kerana rancangan serangannya gagal.

69 Maka berkobarlah kemarahannya terhadap orang Yahudi derhaka yang telah mendesaknya untuk datang ke negeri itu. Banyak antara mereka dibunuhnya.Lalu dia memutuskan untuk pulang ke negerinya.

70 Apabila mendengar hal itu, Yonatan mengirim utusan kepada Bakhides untuk merundingkan perdamaian dan pembebasan para tawanan.

71 Bakhides menerima dan melaksanakan usul Yonatan dan berjanji dengan sumpah bahawa selama hidupnya dia tidak akan berbuat jahat terhadap Yonatan.

72 Sesudah membebaskan para tawanan dari negeri Yudea, Bakhides pulang ke negerinya dan tidak datang lagi ke wilayah orang Yahudi.

73 Maka berhentilah perang di Israel. Yonatan menetap di Mikhmas dan mula memerintah rakyat. Orang Yahudi yang derhaka dilenyapkannya dari Israel.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16