1 Makabe 10 BMDC

Yonatan Dijadikan Imam Agung

1 Dalam tahun 160 Aleksander Epifanes putera Raja Antiokhus yang Keempat mara berperang dan merebut kota Ptolemais. Putera Antiokhus yang Keempat itu diterima oleh penduduknya dan menjadi raja mereka.

2 Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda mengumpulkan tentera yang besar lalu pergi berperang melawan Aleksander.

3 Raja Demetrius juga mengirim surat yang penuh dengan kata-kata pujian dan damai kepada Yonatan,

4 oleh sebab baginda berfikir, “Baiklah kita cepat mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi sebelum mereka membuat perjanjian dengan Aleksander untuk melawan kita.

5 Yonatan tentu masih ingat akan semua kejahatan yang telah kita lakukan terhadap dia, saudara-saudaranya dan seluruh bangsanya.”

6 Demikianlah Raja Demetrius menjadikan Yonatan sekutunya dan memberi kuasa kepadanya untuk mengumpulkan pasukan dan memperlengkapinya dengan senjata. Baginda juga berjanji bahawa para tawanan yang ditahan di kubu di Yerusalem akan diserahkan kepada Yonatan.

7 Lalu Yonatan pergi ke Yerusalem dan membacakan surat itu di hadapan seluruh rakyat dan tentera pendudukan di kubu itu.

8 Tentera pendudukan itu sangat ketakutan ketika mendengar bahawa raja telah memberi kuasa kepada Yonatan untuk mengumpulkan pasukan.

9 Mereka menyerahkan semua tawanan kepada Yonatan, dan dia mengembalikan mereka kepada ibu bapa mereka.

10 Lalu Yonatan menetap di Yerusalem dan mula membina kota itu semula.

11 Dia memerintahkan para pekerja untuk membina tembok-tembok di sekeliling Bukit Sion dengan batu-batu persegi besar, sehingga bukit itu menjadi kubu. Hal itu dilakukan oleh mereka.

12 Semua orang asing di kubu-kubu yang dibina oleh Bakhides melarikan diri.

13 Masing-masing meninggalkan tempat penjagaannya dan pulang ke negerinya sendiri.

14 Tetapi sejumlah orang Yahudi yang telah meninggalkan peraturan-peraturan Taurat Musa, masih menetap di Bet-Zur, tempat mereka melarikan diri.

15 Sementara itu Raja Aleksander mendengar janji-janji Raja Demetrius kepada Yonatan, juga tentang Yonatan sendiri, tentang pertempuran-pertempurannya, kepahlawanannya serta kesulitan-kesulitan yang dialaminya bersama dengan saudara-saudaranya.

16 Lalu Raja Aleksander bertitah, “Mungkinkah kita menemukan orang seperti dia? Baiklah kita jadikan dia sahabat dan sekutu kita.”

17 Maka ditulisnya sepucuk surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu sebagai berikut:

18 “Raja Aleksander kepada Saudara Yonatan, salam!

19 Kami telah mendengar bahawa saudara seorang yang gagah berani dan layak menjadi sahabat raja.

20 Oleh itu pada hari ini kami melantik saudara menjadi Imam Agung daripada bangsa saudara dan memberi gelaran ‘Sahabat Raja’ kepada saudara. Kiranya saudara menjadi sekutu kami dan tetap bersahabat dengan kami.” Raja Aleksander juga mengirim sehelai baju labuh kerajaan dan sebuah mahkota emas kepada Yonatan.

21 Dalam bulan tujuh tahun 160 pada Perayaan Pondok Daun, Yonatan memakai pakaian Imam Agung. Dia membentuk sepasukan tentera dan melengkapinya dengan banyak senjata.

Demetrius yang Pertama Menulis Surat kepada Yonatan

22 Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda sangat sedih dan bertitah,

23 “Bagaimana kita dapat membiarkan Raja Aleksander mendahului kita? Baginda sudah memperkuat kedudukannya dengan menjadikan orang Yahudi sahabatnya.

24 Baiklah beta juga menulis surat yang menyenangkan mereka dan menjanjikan kehormatan serta hadiah supaya mereka menyokong beta.”

25 Maka ditulisnya sepucuk surat kepada orang Yahudi dengan pesan ini:“Raja Demetrius kepada bangsa Yahudi, salam!

26 Kami sangat gembira mendengar bahawa saudara-saudara sudah menepati semua kewajipan daripada perjanjian kita. Saudara-saudara masih setia kepada kami dan tidak bergabung dengan musuh kami.

27 Apabila saudara-saudara tetap setia kepada kami, tindakan saudara-saudara akan kami balas dengan kebaikan.

28 Saudara-saudara akan kami beri banyak anugerah dan pengecualian daripada banyak cukai.

29 Dengan surat ini seluruh bangsa Yahudi kami bebaskan daripada kewajipan membayar cukai biasa, cukai garam, dan cukai-cukai khas untuk raja.

30 Selain itu mulai hari ini saudara-saudara kami bebaskan daripada kewajipan membayar sepertiga daripada hasil gandum dan separuh daripada hasil buah-buahan kepada kami. Mulai hari ini dan untuk selama-lamanya kami tidak akan menuntut pembayaran dari negeri Yudea dan ketiga-tiga buah wilayah yang dahulunya menjadi sebahagian daripada Samaria dan Galilea, yang sekarang bercantum dengan Yudea.

31 Yerusalem dan daerah sekitarnya harus diakui sebagai kota suci dan dikecualikan daripada semua cukai.

32 Kami juga melepaskan kuasa kami atas kubu di Yerusalem dan menyerahkannya kepada Imam Agung. Dia boleh menempatkan askar-askar pilihannya di situ untuk menjaganya.

33 Semua orang Yahudi yang menjadi tahanan perang di mana sahaja di wilayah kerajaan kami, dibebaskan tanpa wang tebusan. Mereka semua akan dibebaskan daripada cukai, dan juga daripada cukai ternakan.

34 Bagi semua orang Yahudi di seluruh kerajaan kami, hari-hari Sabat, Perayaan Bulan Baru dan hari-hari lainnya yang sudah ditetapkan, tiga hari sebelum dan tiga hari sesudah hari-hari perayaan itu, merupakan hari perdagangan bebas dan bebas daripada tagihan hutang.

35 Pada hari-hari itu tidak ada orang yang berhak menuntut bayaran atau mengganggu saudara-saudara tentang perkara apa pun.

36 Lebih kurang 30,000 orang Yahudi akan didaftarkan dalam tentera kerajaan, dan mereka akan menerima bayaran yang sama seperti yang ditetapkan untuk pasukan raja.

37 Sebilangan daripada mereka akan ditempatkan di kubu-kubu besar kerajaan, dan sebilangan lagi diberi kedudukan yang bertanggungjawab dalam pemerintahan. Pemimpin dan panglima mereka akan dilantik daripada kalangan mereka sendiri. Mereka boleh mengikut hukum mereka sendiri seperti yang sudah ditentukan oleh raja bagi negeri Yudea.

38 Ketiga-tiga buah daerah dari wilayah Samaria yang digabungkan dengan Yudea tetap tergabung dan dianggap satu dengan Yudea dan akan diletak di bawah kekuasaan Imam Agung sendiri.

39 Pendapatan dari kota Ptolemais dan daerah jajahannya kami hadiahkan kepada Rumah Allah di Yerusalem untuk membiayai perbelanjaan ibadat.

40 Setiap tahun kami akan menyumbangkan 15,000 keping wang perak daripada pendapatan raja yang diperolehi dari tempat yang layak.

41 Semua sisa wang negara yang belum dibayar oleh pegawai negara, mulai sekarang akan diberikan seluruhnya, seperti mana pada tahun-tahun yang lalu untuk pekerjaan di Rumah Allah.

42 Selain itu kami menghapuskan cukai tahunan sebanyak 5,000 keping wang perak daripada pendapatan Rumah Allah. Wang itu untuk para imam yang menyelanggarakan ibadat di Rumah Allah.

43 Siapa sahaja yang berhutang kepada raja atau yang mempunyai hutang lain, lalu mencari perlindungan di Rumah Allah di Yerusalem atau di mana sahaja di halaman rumah itu akan bebas, dan hartanya yang ada dalam batas-batas kerajaan kami tidak akan disita.

44 Semua perbelanjaan untuk membina dan memperbaiki Rumah Allah akan dibayar daripada pendapatan raja.

45 Biarlah perbelanjaan membina tembok-tembok Yerusalem semula, kubu-kubu pertahanan di sekelilingnya dan tembok-tembok lain di Yudea juga dibayar daripada pendapatan raja.”

Yonatan Menolak Usul Raja Demetrius

46 Apabila Yonatan dan rakyat mendengar usul-usul Raja Demetrius, mereka tidak percaya dan tidak mahu menerimanya. Mereka masih ingat akan kejahatan-kejahatan besar yang dilakukannya terhadap Israel dengan menindas mereka.

47 Mereka lebih suka berpihak kepada Raja Aleksander, oleh sebab baginda terlebih dahulu menawarkan perdamaian. Jadi mereka tetap bersekutu dengan Raja Aleksander.

48 Sementara itu Raja Aleksander mengumpulkan banyak pasukan lalu berperang melawan Raja Demetrius.

49 Kedua-dua orang raja itu bertempur, lalu tentera Raja Demetrius melarikan diri. Raja Aleksander mengejar dan mengalahkan mereka.

50 Raja Aleksander berjuang mati-matian sehingga matahari terbenam, dan pada hari itu juga Raja Demetrius gugur.

Perjanjian Raja Aleksander dengan Raja Ptolemeus

51 Kemudian Raja Aleksander mengirim utusan kepada Raja Ptolemeus yang Keenam, raja Mesir dengan pesanan ini:

52 “Beta sudah kembali ke negeri beta, dan berjaya memukul mundur Demetrius. Beta telah merebut kuasa di wilayah kami dan menduduki takhta nenek moyang beta.

53 Demetrius dan tenteranya beta tumpaskan dalam perang dan beta mengambil alih kerajaannya.

54 Oleh itu baiklah kita mengadakan perjanjian persahabatan. Izinkanlah beta memperisteri puteri tuanku. Beta akan memberikan hadiah-hadiah yang sesuai bagi tuanku dan puteri tuanku.”

55 Raja Ptolemeus menjawab, “Sungguh hari yang berbahagia ketika tuanku kembali ke negeri tuanku dan menduduki takhta nenek moyang tuanku.

56 Beta setuju dengan usul tuanku. Tetapi hendaklah tuanku menemui beta di kota Ptolemais supaya kita dapat berkenalan. Sesudah itu tuanku boleh memperisteri puteri beta.”

57 Maka dalam tahun 162 Raja Ptolemeus dan Kleopatra puteri baginda meninggalkan Mesir dan tiba di Ptolemais.

58 Mereka disambut oleh Raja Aleksander, lalu Raja Ptolemeus menyerahkan Kleopatra, puteri baginda kepada Raja Aleksander. Pernikahan itu dirayakan di Ptolemais secara besar-besaran seperti kebiasaan di kalangan raja-raja.

Yonatan Menjadi Sahabat dan Sekutu Raja Aleksander

59 Sementara itu Raja Aleksander menulis surat kepada Yonatan supaya dia datang menemui baginda.

60 Maka Yonatan pergi ke Ptolemais, dan dengan pakaian kebesaran dan semarak dia bertemu dengan kedua-dua orang raja itu. Dia memberi mereka hadiah daripada emas dan perak. Dia juga memberi banyak hadiah kepada sahabat-sahabat raja, dan mereka semua berkenan kepada dia.

61 Beberapa orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum dan mahu mencelakakan bangsanya berkomplot melawan Yonatan dan menuduh dia. Tetapi Raja Aleksander tidak menghiraukan mereka.

62 Malahan raja memerintahkan supaya Yonatan diberi pakaian kerajaan.

63 Dia dipersilakan duduk di sisi raja. Lalu Raja Aleksander memerintahkan para pegawai baginda, “Pergilah bersama dengan Yonatan ke tengah-tengah kota, dan isytiharkanlah bahawa tidak seorang pun boleh menuduh Yonatan tentang perkara apa pun atau menggugatnya dengan alasan apa pun.”

64 Ketika orang yang menuduhnya melihat bahawa Yonatan diberi pakaian kerajaan dan kehormatan, serta mendengar pengisytiharan itu, mereka semua melarikan diri.

65 Raja memberi kehormatan kepada Yonatan dengan memasukkannya di kalangan utama sahabat raja. Dia juga dilantik menjadi panglima dan gabenor wilayahnya.

66 Lalu Yonatan pulang ke Yerusalem dengan gembira dan selamat.

Yonatan Mengalahkan Apolonius

67 Dalam tahun 165 Demetrius yang Kedua putera Raja Demetrius yang Pertama meninggalkan Kreta dan tiba di Siria, negeri nenek moyangnya.

68 Apabila mendengar hal itu Raja Aleksander menjadi cemas, lalu kembali ke Antiokhia, ibu kota Siria.

69 Sementara itu Raja Demetrius melantik Apolonius kembali menjadi gabenor Siria Besar. Apolonius membentuk tentera yang besar lalu berkhemah dekat dengan Yamnia. Dia mengirim pesan ini kepada Yonatan, Imam Agung:

70 “Tuanlah satu-satunya yang memberontak terhadap kami. Oleh sebab tuan pula kami dijadikan bahan tertawaan dan ejekan. Mengapakah tuan menunjukkan kuasa tuan di pergunungan untuk melawan kami?

71 Kalau tuan memang percaya kepada tentera tuan, turunlah menghadapi kami di dataran supaya kita dapat mengadu kekuatan. Tuan akan melihat bahawa pasukan semua kota ada di pihak kami.

72 Terlebih dahulu, baiklah tuan menyelidiki siapa kami dan siapa sekutu kami. Tuan akan menyedari bahawa tuan tidak boleh bertahan terhadap kami. Nenek moyang tuan terpaksa melarikan diri sampai dua kali di negeri mereka sendiri.

73 Jangan harap tuan dapat bertahan terhadap pasukan berkuda dan tentera kami yang sekuat ini di dataran. Di sini tidak ada batu sebesar kerikil pun untuk tempat bersembunyi dan tidak ada tempat untuk lari.”

74 Apabila Yonatan menerima pesan Apolonius, dia sangat tersinggung. Dipilihnya 10,000 orang askar, lalu mereka berangkat dari Yerusalem. Simon abangnya juga datang membawa pasukan pembantu.

75 Lalu mereka berkhemah dekat kota Yope. Mereka tidak diizinkan masuk oleh penduduk kota, kerana di situ sudah ada tentera pendudukan Apolonius. Tetapi Yonatan menyerang kota itu.

76 Kerana ketakutan, penduduk kota membuka pintu gerbangnya sehingga Yonatan dapat menguasai kota itu.

77 Apabila mendengar hal itu, Apolonius membawa 3,000 orang pasukan tentera berkuda dan pasukan berjalan kaki yang amat besar. Dia berpura-pura menuju ke kota Asdod. Tetapi sementara itu dia mara ke dataran dengan mengharapkan kekuatan pasukan berkudanya.

78-79 Dengan diam-diam ditinggalkannya 1,000 orang pasukan berkudanya untuk menyerang tentera Yonatan dari belakang. Yonatan mengikuti musuh hingga ke Asdod, lalu pertempuran bermula.

80 Pada saat itulah Yonatan sedar bahawa mereka terjebak. Tenteranya dikepung dan dari pagi hingga petang mereka dihujani panah musuh.

81 Tetapi anak buah Yonatan bertahan seperti yang diperintahkan oleh Yonatan, dan pasukan berkuda musuh menjadi lelah.

82 Sesudah pasukan berkuda itu kepenatan, tiba-tiba Simon muncul dengan pasukannya. Dia menyerang dan menggempur pasukan tentera berjalan kaki musuh. Mereka tercerai-cerai lalu melarikan diri.

83 Pasukan berkuda bertaburan di dataran, lalu melarikan diri ke Asdod dan mencari perlindungan di kuil Dagon, dewa mereka.

84 Tetapi Yonatan membakar kota itu serta kuil Dagon yang ada di situ, dan semua orang yang berlindung di dalamnya mati terbakar. Kampung-kampung di sekitarnya juga dirampas dan dibakar.

85 Pada hari itu musuh yang mati kerana pedang atau api berjumlah lebih kurang 8,000 orang.

86 Kemudian Yonatan meninggalkan tempat itu dan berkhemah dekat kota Askelon. Dia disambut oleh penduduk kota dengan kehormatan besar.

87 Lalu dia dan anak buahnya kembali ke Yerusalem dengan membawa banyak barang jarahan.

88 Apabila Raja Aleksander mendengar apa yang telah dilakukan Yonatan, baginda memberi kehormatan yang lebih besar lagi kepadanya.

89 Baginda menghadiahkan sebuah kancing emas yang biasanya hanya diberikan kepada kaum kerabat diraja, dan menyerahkan kota Ekron dan daerah sekitarnya kepada Yonatan sebagai milik peribadinya.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16