1 Makabe 2 BMDC

Keluhan Matatias

1 Pada waktu itu seorang imam daripada keluarga Yoarib yang bernama Matatias, anak Yohanes, cucu Simeon, pindah dari Yerusalem dan menetap di kota Modein.

2 Matatias mempunyai lima orang anak: Yohanes yang disebut Gadi,

3 Simon yang disebut Tasi,

4 Yudas yang disebut Makabe,

5 Eleazar yang disebut Avaran, dan Yonatan yang disebut Apfus.

6 Ketika Matatias melihat semua pencemaran yang dilakukan di Yudea dan di Yerusalem,

7 dia berkata,“Celakalah aku ini! Mengapa aku dilahirkanuntuk melihat keruntuhan bangsaku dan kota suci?Haruskah aku diam sajasementara kota itu diserahkan kepada musuhdan Rumah Tuhan jatuh ke tangan orang asing?

8 Rumah Allah seperti orang tanpa kehormatan;

9 perlengkapannya yang indah sudah habis dijarah.Anak-anak kita dibunuh di jalan-jalan,para pemuda kita binasa oleh pedang lawan.

10 Kedaulatan Yerusalem sudah dirampasdan hartanya dirompak oleh segala bangsa.

11 Semua perhiasannya sudah diambil;dia kehilangan kemerdekaannya dan menjadi hamba.

12 Lihatlah tempat suci; segala yang indah dan mulia bagi kitatelah dicemarkan dan dirosakkan oleh orang asing.

13 Jadi apa gunanya hidup bagi kita?”

14 Lalu Matatias dan anak-anaknya mengoyak pakaian mereka kerana sedih dan memakai kain guni tanda berkabung.

Korban di Modein

15 Para pegawai raja yang ditugaskan untuk memaksa orang Yahudi meninggalkan Allah, datang ke Modein untuk mempersembahkan korban kepada dewa-dewa.

16 Banyak orang Israel datang bertemu dengan mereka. Matatias dan anak-anaknya ikut berkumpul.

17 Para pegawai raja berkata kepada Matatias, “Tuan seorang pemimpin yang besar dan terhormat di kota ini dan disokong oleh anak-anak dan kaum keluarga tuan.

18 Baiklah tuan menjadi orang pertama yang melakukan perintah raja. Semua bangsa lain, penduduk Yudea, serta semua orang yang masih tinggal di Yerusalem sudah melakukannya. Kalau tuan menurut, tuan dan anak-anak tuan akan diberi gelaran ‘Sahabat Raja’ dan dihormati dengan pemberian emas, perak, dan banyak hadiah yang lain.”

19 Matatias menjawabnya dengan suara kuat, “Biarlah semua bangsa dalam lingkungan kerajaan ini taat kepada raja dan meninggalkan agama nenek moyang mereka.

20 Saya, anak-anak saya, dan kaum keluarga saya tetap setia kepada perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang kami.

21 Dengan bantuan Allah, kami akan tetap berpegang pada Taurat dan perintah-perintah-Nya.

22 Kami tak mahu mentaati perintah raja dan tak mahu menyimpang sedikit pun daripada cara beribadat kami.”

23 Selepas sahaja dia selesai bercakap, seorang Yahudi dari Modein tampil ke hadapan orang ramai untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, sesuai dengan perintah raja.

24 Apabila melihat orang itu, Matatias menjadi marah sekali. Kemarahannya meluap-luap sehingga badannya gementar. Dia maju dan membunuh orang itu dekat mazbah.

25 Pegawai raja yang memaksa orang mempersembahkan korban dibunuhnya juga. Lalu dia merobohkan mazbah itu.

26 Dengan cara itu Matatias menunjukkan semangatnya yang besar untuk membela Taurat, seperti yang dilakukan Pinehas ketika membunuh Zimri anak Salom.

Matatias Melancarkan Perang Gerila

27 Kemudian Matatias mengelilingi kota sambil berseru, “Siapa yang setia kepada perjanjian Allah dan ingin taat kepada Taurat-Nya, ikut aku!”

28 Lalu dia dan anak-anaknya meninggalkan segala milik mereka di kota dan melarikan diri ke pergunungan.

29-30 Pada waktu itu ada banyak orang Israel lain yang ingin memelihara hubungan baik dengan Allah dan mentaati Taurat-Nya. Mereka membawa anak isteri serta ternakan mereka dan melarikan diri ke padang gurun supaya terhindar daripada penganiayaan yang dahsyat.

31 Tidak lama kemudian para pegawai raja dan pasukan di kubu di Yerusalem diberitahu bahawa sejumlah orang yang mengingkari perintah raja telah lari untuk bersembunyi di padang gurun.

32 Lalu satu pasukan besar mengejar dan menjumpai mereka. Mereka berkhemah berhadapan dengan semua orang Yahudi itu dan bersiap-siap untuk menyerang mereka pada hari Sabat.

33 Mereka berteriak kepada orang Yahudi, “Cukuplah sekarang! Keluar! Taatilah perintah raja supaya kamu selamat!”

34 “Tidak!” sahut mereka. “Kami tak mahu keluar untuk mentaati perintah raja. Kami tak mahu melanggar peraturan hari Sabat!”

35 Segera para askar mula menyerang mereka,

36 tetapi orang Yahudi tidak menentang mereka sedikit pun. Mereka tidak melempar lawan mereka dengan batu atau merintang jalan ke tempat-tempat persembunyian mereka.

37 Kata mereka, “Kami semua akan mati dengan hati bersih. Biar langit dan bumi menjadi saksi bahawa kamu membunuh kami dengan tidak adil.”

38 Lalu mereka diserang musuh pada hari Sabat. Lebih kurang seribu orang mati, termasuk lelaki, wanita dan anak-anak berserta ternakan mereka.

39 Apabila mendengar berita itu, Matatias dan kawan-kawannya berasa sangat sedih

40 dan berkata sesama mereka, “Kalau kita semua berbuat seperti saudara-saudara kita dan tak mahu bertempur melawan orang asing untuk mempertahankan nyawa dan agama kita, pasti tak lama lagi kita akan lenyap dari muka bumi.”

41 Pada hari itu mereka memutuskan untuk memberi tentangan apabila mereka diserang pada hari Sabat, supaya mereka tidak mati semua seperti saudara-saudara mereka yang habis dibunuh di tempat persembunyian mereka.

42 Kemudian Matatias dan anak buahnya disertai oleh sekelompok orang yang berbakti kepada Allah dan disebut kaum Mursyid, orang Israel yang gagah perkasa, dan sesiapa sahaja yang mahu membela Taurat.

43 Selain itu setiap orang yang melarikan diri daripada penganiayaan, ikut bergabung dengan mereka untuk memperkuat pasukan mereka.

44 Lalu Matatias membentuk sepasukan tentera dan dengan geramnya menyerang orang Yahudi yang berdosa dan melanggar Taurat. Mereka yang terlepas harus melarikan diri kepada bangsa asing supaya selamat.

45 Matatias dan kawan-kawannya pergi ke merata tempat dan merobohkan mazbah-mazbah orang asing.

46 Setiap anak lelaki yang didapati belum bersunat di wilayah Israel, mereka menyunatnya dengan paksa.

47 Mereka juga berjaya mengusir para pegawai asing yang bongkak itu.

48 Mereka menyelamatkan Taurat Musa daripada orang asing serta raja-raja mereka, dan mematahkan kekuasaan Raja Antiokhus.

Matatias Meninggal

49 Apabila Matatias sudah hampir meninggal, Matatias berkata kepada anak-anaknya, “Zaman ini penuh dengan pergolakan dan keganasan. Orang bongkak memegang kekuasaan dan menjadikan kita bahan tertawaan.

50 Tetapi kamu, anak-anakku, harus mentaati hukum dan bersedia mati untuk mempertahankan perjanjian Allah dengan nenek moyang kita.

51 Ingatlah apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu. Ikutilah teladan mereka, maka kamu pun akan mendapat kehormatan besar dan nama kamu diingati selama-lamanya.

52 Ingatlah bagaimana Abraham ternyata setia apabila diuji, sehingga Tuhan berkenan menerimanya.

53 Yusuf pun demikian ketika mengalami kesukaran mentaati perintah Allah dan kemudian menjadi penguasa di Mesir.

54 Pinehas, nenek moyang kita berkobar-kobar semangatnya bagi Tuhan, sehingga Tuhan berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi imam untuk selama-lamanya.

55 Yosua dijadikan pemimpin di Israel kerana dia taat kepada perintah Musa.

56 Kaleb memberi laporan baik kepada umat, maka dia menerima tanah sebagai milik pusaka.

57 Daud tetap setia, kerana itu Allah berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan memerintah sebagai raja turun-temurun.

58 Elia diangkat ke syurga kerana semangatnya yang besar untuk membela Taurat.

59 Anania, Azarya, dan Misael diselamatkan daripada nyala api kerana iman mereka.

60 Daniel diselamatkan dari muncung singa kerana dia tulus hati.

61 Hendaklah kamu masing-masing mencontohi nenek moyang kita, maka kamu akan melihat bahawa orang yang percaya kepada Tuhan tidak menjadi lemah.

62 Jangan takut akan ancaman orang jahat, oleh sebab kekayaan mereka akan berakhir dan mayat mereka yang membusuk menjadi makanan cacing.

63 Hari ini mereka mendapat kehormatan besar, tetapi esok mereka lenyap. Badan mereka kembali menjadi tanah dan semua rancangan mereka akan berakhir.

64 Anak-anakku, hendaklah kamu kuat dan gagah berani untuk mempertahankan Taurat, kerana hanya melalui Taurat kamu mendapat kehormatan besar.

65 Saudaramu ini, Simeon, orang yang berbudi. Dengarkan dia selalu seperti kamu mendengar bapamu.

66 Yudas Makabe gagah berani sejak masa muda lagi. Dia akan menjadi panglimamu dan memimpin pertempuran melawan musuh.

67 Himpunlah semua orang yang taat kepada Taurat Allah supaya bergabung dengan kamu, dan maralah untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadap bangsa kita.

68 Hukumlah bangsa-bangsa asing kerana perbuatan mereka. Hendaklah kamu tetap setia kepada peraturan-peraturan Taurat.”

69 Sesudah memberkati anak-anaknya, Matatias meninggal

70 dan dikuburkan di kuburan keluarganya di Modein. Seluruh bangsa Israel menangisi dan meratapi kematiannya. Hal itu terjadi dalam tahun 146.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16