1 Makabe 5 BMDC

Peperangan Melawan Bangsa-Bangsa Jiran

1 Bangsa-bangsa jiran marah sekali apabila mendengar bahawa orang Yahudi telah mendirikan mazbah dan menyucikan Rumah Tuhan semula.

2 Mereka memutuskan untuk menumpaskan semua orang Yahudi yang tinggal di tengah-tengah mereka. Maka mereka mula membunuh orang Yahudi.

3 Yudas memerangi keturunan Esau di Idumea dekat dengan Akrabatena, kerana mereka terus mengepung orang Israel. Dia mengalahkan mereka lalu menaklukkan dan merampasi mereka.

4 Yudas juga ingat akan kejahatan kaum Baian yang merupakan ancaman bagi bangsa Israel, kerana mereka sering mengadang orang Israel di jalan-jalan.

5 Orang Baian dikurungnya di dalam kubu-kubu mereka. Lalu dia mengepung mereka dan bersumpah akan membinasakan mereka. Kubu-kubu itu dibakarnya berserta semua orang yang ada di dalamnya.

6 Kemudian Yudas mara untuk menyerang orang Amon. Di sana dia menghadapi tentera yang besar dan kuat di bawah pimpinan Timotius.

7 Berkali-kali Yudas bertempur melawan mereka sehingga mengalahkan mereka.

8 Dia merebut kota Yaezer dan kampung-kampung di sekitarnya, lalu kembali ke daerah Yudea.

Persiapan untuk Menyerbu Galilea dan Gilead

9 Orang asing yang tinggal di Gilead bersekutu untuk menumpaskan orang Israel yang tinggal di wilayah mereka. Tetapi orang Israel melarikan diri ke kubu Datema,

10-11 dan mengirim sepucuk surat berikut kepada Yudas dan saudara-saudaranya, “Orang asing di sekeliling kami bersekutu di bawah pimpinan Timotius. Kami telah melarikan diri ke kubu Datema. Sekarang mereka bersiap-siap hendak merebut kubu ini dan menumpaskan kami.

12 Banyak antara kami sudah dibunuh. Datanglah untuk membebaskan kami.

13 Semua lelaki Yahudi yang tinggal di wilayah Tob sudah dibunuh. Anak isteri mereka diangkut sebagai tawanan dan milik mereka dibawa pergi. Kira-kira seribu orang kami sudah ditumpaskan di sana.”

14 Belum habis lagi surat itu dibaca, tiba-tiba datang utusan-utusan lain membawa laporan dari Galilea. Pakaian mereka koyak rabak menandakan kesedihan.

15 Kata mereka, “Pasukan besar orang Ptolemais, Tirus, Sidon, dan semua orang asing yang tinggal di Galilea sudah berkumpul untuk membinasakan kami.”

16 Apabila mendengar semua itu, Yudas dan rakyat mengadakan persidangan raksasa untuk memutuskan bagaimana menolong saudara mereka yang ditimpa kesukaran besar kerana serangan musuh.

17 Kata Yudas kepada Simon abangnya, “Pilihlah sejumlah orang dan pergilah membebaskan saudara-saudara kita di Galilea. Saya dan Yonatan adik kita akan pergi ke Gilead.”

18 Lalu Yudas meninggalkan pasukannya yang lain untuk menjaga daerah Yudea. Azarya dan Yusuf anak Zakarya ditugaskan untuk memimpin rakyat.

19 Kata Yudas kepada mereka, “Kamu berdua kujadikan pemimpin rakyat, tetapi jangan pergi berperang melawan orang asing sebelum kami kembali.”

20 Lalu tiga ribu orang askar diserahkan kepada Simon untuk pergi ke Galilea, dan lapan ribu orang askar diserahkan kepada Yudas untuk pergi ke Gilead.

Penyerbuan ke Daerah Galilea dan Gilead

21 Kemudian Simon berangkat ke Galilea dan mengadakan banyak pertempuran dengan orang asing di sana. Dia mengalahkan

22 dan mengejar mereka sehingga ke kota Ptolemais. Lebih kurang 3,000 orang askar musuh dibunuh dan dirompak.

23 Lalu orang Yahudi yang tinggal di Galilea dan Arbata, berserta anak isteri dan harta benda mereka, dibawa oleh Simon ke Yudea dengan kegembiraan besar.

24 Sementara itu Yudas Makabe dan Yonatan adiknya telah menyeberang Sungai Yordan dan berjalan selama tiga hari melalui padang gurun.

25 Mereka berjumpa dengan orang Nabatai yang menerima mereka dengan ramah. Kumpulan orang itu menceritakan segala sesuatu yang telah menimpa orang Yahudi di Gilead.

26 Mereka melaporkan bahawa banyak orang Yahudi terkurung di kota-kota Bozra, Beser, Alema, Kafso, Maked, dan Karnain; semuanya kota besar yang berkubu.

27 Ada lagi orang yang terkurung di kota-kota lain di Gilead. Mereka melaporkan juga bahawa musuh bermaksud mengadakan serangan terhadap kubu-kubu itu pada hari esoknya, dengan harapan dapat menangkap dan menumpas semua orang Yahudi dalam waktu satu hari sahaja.

28 Oleh itu Yudas dan pasukannya segera membelok dan berjalan melalui padang gurun ke Bozra. Kota itu ditawannya dan setiap orang lelaki dibunuh. Sesudah dirampasi, kota itu dibakar sehingga habis.

29 Kemudian mereka berangkat dan sepanjang malam berjalan ke kubu Datema.

30 Pada waktu fajar menyingsing, Yudas dan anak buahnya melihat pasukan yang amat besar menyerang kubu itu. Mereka sedang memasang tangga-tangga dan kayu-kayu pelantak untuk menyerang orang Yahudi di dalam kubu.

31 Apabila mendengar keriuhan, teriakan, dan bunyi trompet dari kota, Yudas sedar bahawa pertempuran sudah bermula.

32 Dia berkata kepada anak buahnya, “Hari ini kamu harus bertempur untuk saudara-saudara kita!”

33 Lalu Yudas membentuk tiga pasukan dan menyerang musuh dari belakang. Sambil mara, mereka meniup trompet dan menyerukan doa-doa.

34 Ketika pasukan yang dipimpin Timotius melihat bahawa itu Yudas Makabe, mereka melarikan diri dan menderita kekalahan besar. Pada hari itu lebih kurang 8,000 orang binasa.

35 Kemudian Yudas membelok untuk menyerang kota Maafa. Kota itu ditawannya, dan semua penduduk lelaki dibunuh. Lalu kota itu dijarah dan dibakar sehingga habis.

36 Setelah berangkat dari situ, direbutnya kota Kafso, Maked, Beser, dan kota-kota lain di daerah Gilead.

37 Selepas itu Timotius mengumpulkan satu pasukan lain dan berkhemah berhadapan dengan kota Rafon di seberang sungai.

38 Yudas menyuruh beberapa orang untuk mengintip perkhemahan itu. Setelah kembali, mereka membuat laporan kepadanya, “Semua bangsa asing di sekitar kita sudah bergabung dengan Timotius dan bersama-sama membentuk pasukan yang besar.

39 Orang Arab juga diupah untuk memperkuat pasukan. Mereka berkhemah di seberang sungai, siap untuk menyerang kita.” Maka majulah Yudas untuk bertempur melawan mereka.

40 Sementara Yudas dan anak buahnya mendekati sungai, Timotius berkata kepada para pegawai tenteranya, “Kalau dia menyeberang lebih dahulu, kita tidak dapat bertahan, oleh sebab kita pasti dikalahkan olehnya.

41 Tetapi kalau dia takut dan berkhemah di seberang sana, kita akan menyeberang dan mengalahkan dia.”

42 Ketika Yudas tiba di sungai, dia menempatkan pegawai-pegawai khas di tepi sungai dan memerintahkan mereka, “Jangan izinkan seorang pun berhenti. Semua harus mara bertempur!”

43 Yudas sendiri yang pertama menyeberang untuk melawan musuh, dan seluruh anak buahnya ikut di belakangnya. Orang asing di situ digempur di hadapannya. Mereka membuang senjata mereka dan melarikan diri ke kuil di Karnain.

44 Tetapi Yudas dan anak buahnya menawan kota itu dan membakar kuil dengan semua orang yang ada di dalamnya. Lalu kota itu ditumpaskan sama sekali, dan selanjutnya bangsa-bangsa asing tidak dapat lagi memberi perlawanan terhadap Yudas.

45 Kemudian Yudas mengumpulkan semua orang Yahudi yang tinggal di Gilead untuk menghantar mereka ke Yudea. Jumlah mereka besar sekali, orang dewasa dengan anak isteri dan semua milik mereka.

46 Mereka tiba di Efron, kota yang besar dan sangat kukuh, yang terletak di sela gunung. Tidak ada jalan di kiri atau kanannya. Satu-satunya jalan adalah melalui kota itu.

47 Tetapi penduduknya tidak mahu mengizinkan orang Yahudi lalu. Mereka menutup pintu gerbang dan merintanginya dengan batu.

48 Yudas mengirim pesan persahabatan kepada mereka, katanya, “Kami dalam perjalanan pulang ke negeri kami. Izinkanlah kami melalui daerah kamu. Tidak seorang pun akan mengganggu kamu; kami hanya ingin lalu.” Tetapi penduduk kota itu tidak mahu membuka pintu gerbang.

49 Maka Yudas menyuruh setiap orang mengambil tempat masing-masing.

50 Jadi para askar bersiap-siap. Mereka menyerang kota dan bertempur sehari semalam penuh sehingga kota itu jatuh ke tangan mereka.

51 Semua penduduk lelaki dibunuh, lalu kota dijarah dan diratakan dengan tanah. Kemudian Yudas dan rakyat melalui kota itu dengan berjalan di atas mayat-mayat penduduknya.

52 Mereka menyeberang Sungai Yordan menuju ke dataran luas yang berhadapan dengan Bet-Sean.

53 Sepanjang jalan Yudas mengumpulkan orang yang ketinggalan dan memberi semangat kepada rakyat sehingga mereka tiba di tanah Yudea.

54 Dengan rasa syukur dan gembira mereka naik ke Bukit Sion dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan kerana mereka tiba dengan selamat tanpa kehilangan seorang pun.

Yusuf dan Azarya dikalahkan

55 Sementara itu Yudas dan Yonatan berada di Gilead dan Simon abang mereka di Galilea dekat dengan kota Ptolemais.

56 Azarya dan Yusuf anak Zakarya, dua orang panglima pasukan di Yudea, mendapat khabar tentang kepahlawanan Yudas dan Simon.

57 Lalu mereka berkata, “Marilah kita berperang melawan orang asing di sekitar sini supaya kita juga mendapat nama harum.”

58 Maka mereka menyuruh anak buah mereka menyerang kota Yamnia.

59 Tetapi Gorgias dan anak buahnya keluar dari kota itu hendak bertempur dengan mereka.

60 Yusuf dan Azarya dikalahkan dan dikejar sehingga ke perbatasan Yudea. Pada hari itu lebih kurang 2,000 orang Israel binasa.

61 Rakyat menderita kekalahan besar kerana pemimpin-pemimpin itu ingin menjadi pahlawan dan tidak mahu taat kepada Yudas dan saudara-saudaranya.

62 Selain itu mereka bukan berkerabat dengan orang yang dipilih oleh Tuhan untuk membebaskan Israel.

Kemenangan di Idumea dan Filistea

63 Yudas Makabe dan saudara-saudaranya sangat dihormati oleh semua orang Israel dan orang asing. Di mana sahaja nama mereka terdengar,

64 orang berkerumun untuk memuji mereka.

65 Kemudian Yudas dan saudara-saudaranya pergi untuk memerangi orang Idumea di selatan. Dia menyerang kota Hebron dan kampung-kampung di sekitarnya. Kubu-kubunya dihancurkan dan menara-menara di sekelilingnya dibakar.

66 Dari situ dia mara terus ke negeri Filistea melalui kota Marisa.

67 Pada hari itu sejumlah imam gugur dalam pertempuran kerana mereka ingin menjadi termasyhur dan dengan bodohnya keluar untuk bertempur.

68 Kemudian Yudas belok ke kota Asdod di negeri Filistea. Dia membongkar mazbah-mazbah dan membakar berhala-berhala mereka. Sesudah menjarah kota-kota mereka, dia kembali ke Yudea.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16