2 Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda mengumpulkan tentera yang besar lalu pergi berperang melawan Aleksander.
3 Raja Demetrius juga mengirim surat yang penuh dengan kata-kata pujian dan damai kepada Yonatan,
4 oleh sebab baginda berfikir, “Baiklah kita cepat mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi sebelum mereka membuat perjanjian dengan Aleksander untuk melawan kita.
5 Yonatan tentu masih ingat akan semua kejahatan yang telah kita lakukan terhadap dia, saudara-saudaranya dan seluruh bangsanya.”
6 Demikianlah Raja Demetrius menjadikan Yonatan sekutunya dan memberi kuasa kepadanya untuk mengumpulkan pasukan dan memperlengkapinya dengan senjata. Baginda juga berjanji bahawa para tawanan yang ditahan di kubu di Yerusalem akan diserahkan kepada Yonatan.
7 Lalu Yonatan pergi ke Yerusalem dan membacakan surat itu di hadapan seluruh rakyat dan tentera pendudukan di kubu itu.
8 Tentera pendudukan itu sangat ketakutan ketika mendengar bahawa raja telah memberi kuasa kepada Yonatan untuk mengumpulkan pasukan.