20 Oleh itu pada hari ini kami melantik saudara menjadi Imam Agung daripada bangsa saudara dan memberi gelaran ‘Sahabat Raja’ kepada saudara. Kiranya saudara menjadi sekutu kami dan tetap bersahabat dengan kami.” Raja Aleksander juga mengirim sehelai baju labuh kerajaan dan sebuah mahkota emas kepada Yonatan.
21 Dalam bulan tujuh tahun 160 pada Perayaan Pondok Daun, Yonatan memakai pakaian Imam Agung. Dia membentuk sepasukan tentera dan melengkapinya dengan banyak senjata.
22 Apabila Raja Demetrius mendengar hal itu, baginda sangat sedih dan bertitah,
23 “Bagaimana kita dapat membiarkan Raja Aleksander mendahului kita? Baginda sudah memperkuat kedudukannya dengan menjadikan orang Yahudi sahabatnya.
24 Baiklah beta juga menulis surat yang menyenangkan mereka dan menjanjikan kehormatan serta hadiah supaya mereka menyokong beta.”
25 Maka ditulisnya sepucuk surat kepada orang Yahudi dengan pesan ini:“Raja Demetrius kepada bangsa Yahudi, salam!
26 Kami sangat gembira mendengar bahawa saudara-saudara sudah menepati semua kewajipan daripada perjanjian kita. Saudara-saudara masih setia kepada kami dan tidak bergabung dengan musuh kami.