24 Baiklah beta juga menulis surat yang menyenangkan mereka dan menjanjikan kehormatan serta hadiah supaya mereka menyokong beta.”
25 Maka ditulisnya sepucuk surat kepada orang Yahudi dengan pesan ini:“Raja Demetrius kepada bangsa Yahudi, salam!
26 Kami sangat gembira mendengar bahawa saudara-saudara sudah menepati semua kewajipan daripada perjanjian kita. Saudara-saudara masih setia kepada kami dan tidak bergabung dengan musuh kami.
27 Apabila saudara-saudara tetap setia kepada kami, tindakan saudara-saudara akan kami balas dengan kebaikan.
28 Saudara-saudara akan kami beri banyak anugerah dan pengecualian daripada banyak cukai.
29 Dengan surat ini seluruh bangsa Yahudi kami bebaskan daripada kewajipan membayar cukai biasa, cukai garam, dan cukai-cukai khas untuk raja.
30 Selain itu mulai hari ini saudara-saudara kami bebaskan daripada kewajipan membayar sepertiga daripada hasil gandum dan separuh daripada hasil buah-buahan kepada kami. Mulai hari ini dan untuk selama-lamanya kami tidak akan menuntut pembayaran dari negeri Yudea dan ketiga-tiga buah wilayah yang dahulunya menjadi sebahagian daripada Samaria dan Galilea, yang sekarang bercantum dengan Yudea.