58 Mereka disambut oleh Raja Aleksander, lalu Raja Ptolemeus menyerahkan Kleopatra, puteri baginda kepada Raja Aleksander. Pernikahan itu dirayakan di Ptolemais secara besar-besaran seperti kebiasaan di kalangan raja-raja.
59 Sementara itu Raja Aleksander menulis surat kepada Yonatan supaya dia datang menemui baginda.
60 Maka Yonatan pergi ke Ptolemais, dan dengan pakaian kebesaran dan semarak dia bertemu dengan kedua-dua orang raja itu. Dia memberi mereka hadiah daripada emas dan perak. Dia juga memberi banyak hadiah kepada sahabat-sahabat raja, dan mereka semua berkenan kepada dia.
61 Beberapa orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum dan mahu mencelakakan bangsanya berkomplot melawan Yonatan dan menuduh dia. Tetapi Raja Aleksander tidak menghiraukan mereka.
62 Malahan raja memerintahkan supaya Yonatan diberi pakaian kerajaan.
63 Dia dipersilakan duduk di sisi raja. Lalu Raja Aleksander memerintahkan para pegawai baginda, “Pergilah bersama dengan Yonatan ke tengah-tengah kota, dan isytiharkanlah bahawa tidak seorang pun boleh menuduh Yonatan tentang perkara apa pun atau menggugatnya dengan alasan apa pun.”
64 Ketika orang yang menuduhnya melihat bahawa Yonatan diberi pakaian kerajaan dan kehormatan, serta mendengar pengisytiharan itu, mereka semua melarikan diri.