70 “Tuanlah satu-satunya yang memberontak terhadap kami. Oleh sebab tuan pula kami dijadikan bahan tertawaan dan ejekan. Mengapakah tuan menunjukkan kuasa tuan di pergunungan untuk melawan kami?
71 Kalau tuan memang percaya kepada tentera tuan, turunlah menghadapi kami di dataran supaya kita dapat mengadu kekuatan. Tuan akan melihat bahawa pasukan semua kota ada di pihak kami.
72 Terlebih dahulu, baiklah tuan menyelidiki siapa kami dan siapa sekutu kami. Tuan akan menyedari bahawa tuan tidak boleh bertahan terhadap kami. Nenek moyang tuan terpaksa melarikan diri sampai dua kali di negeri mereka sendiri.
73 Jangan harap tuan dapat bertahan terhadap pasukan berkuda dan tentera kami yang sekuat ini di dataran. Di sini tidak ada batu sebesar kerikil pun untuk tempat bersembunyi dan tidak ada tempat untuk lari.”
74 Apabila Yonatan menerima pesan Apolonius, dia sangat tersinggung. Dipilihnya 10,000 orang askar, lalu mereka berangkat dari Yerusalem. Simon abangnya juga datang membawa pasukan pembantu.
75 Lalu mereka berkhemah dekat kota Yope. Mereka tidak diizinkan masuk oleh penduduk kota, kerana di situ sudah ada tentera pendudukan Apolonius. Tetapi Yonatan menyerang kota itu.
76 Kerana ketakutan, penduduk kota membuka pintu gerbangnya sehingga Yonatan dapat menguasai kota itu.