29 Raja bersetuju, dan untuk meneguhkan semua hal itu, ditulisnya sepucuk surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu,
30 “Raja Demetrius kepada Saudara Yonatan dan bangsa Yahudi, salam!
31 Kami telah mengirim surat tentang saudara sekalian kepada Lastenes kerabat kami. Salinan surat itu kami kirim untuk maklumat saudara-saudara.
32 Raja Demetrius, kepada Yang Terhormat Bapa Lastenes, salam.
33 Kami telah memutuskan untuk memberi hak-hak istimewa kepada orang Yahudi sebagai balas jasa kerana mereka sahabat kami yang setia dan menepati kewajipan mereka terhadap kami.
34 Kami mengesahkan hak mereka terhadap daerah Yudea dan ketiga-tiga buah daerah, iaitu kota Efraim, Lida, dan Ramataim serta daerah sekitarnya. Ketiga-tiga buah daerah Samaria itu kami tetapkan menjadi satu dengan Yudea. Hal itu akan menguntungkan orang yang membawa persembahan ke Yerusalem, oleh sebab cukai tahunan daripada hasil tanaman dan buah-buahan bukan lagi untuk raja, tetapi untuk Rumah Allah.
35 Mulai hari ini kami juga membebaskan mereka daripada membayar cukai sepersepuluhan, cukai garam, dan semua cukai khas untuk raja.