3 Raja Ptolemeus menempatkan tentera pendudukan di setiap kota yang dimasukinya.
4 Apabila tiba di Asdod, baginda ditunjukkan puing-puing kuil Dagon yang terbakar, juga reruntuhan kota dan kampung-kampung di sekitarnya dan tempat mayat-mayat berserakan. Mayat orang yang mati terbakar dalam pertempuran ditumpuk di sepanjang jalan yang harus dilalui oleh Raja Ptolemeus.
5 Juga diceritakan kepadanya apa yang telah dilakukan oleh Yonatan, dengan maksud memburukkan namanya. Tetapi Raja Ptolemeus diam sahaja.
6 Yonatan pergi ke Yope untuk menyambut raja dengan upacara yang meriah. Mereka bersalam-salaman lalu menginap di sana.
7 Pada keesokan harinya Yonatan menghantar raja sehingga ke Sungai Eleuterus, lalu kembali ke Yerusalem.
8 Demikianlah dalam perjalanan itu Raja Ptolemeus mengambil alih kuasa terhadap kota-kota di sepanjang pantai hingga ke Seleukia-Laut. Baginda membuat rancangan jahat terhadap Raja Aleksander dengan
9 mengirim pesan ini kepada Raja Demetrius, “Baiklah kita membuat perjanjian. Puteri beta yang sekarang menjadi permaisuri Raja Aleksander akan beta berikan kepada tuanku, dan tuanku akan memerintah kerajaan ayahanda tuanku.