32 Raja Demetrius, kepada Yang Terhormat Bapa Lastenes, salam.
33 Kami telah memutuskan untuk memberi hak-hak istimewa kepada orang Yahudi sebagai balas jasa kerana mereka sahabat kami yang setia dan menepati kewajipan mereka terhadap kami.
34 Kami mengesahkan hak mereka terhadap daerah Yudea dan ketiga-tiga buah daerah, iaitu kota Efraim, Lida, dan Ramataim serta daerah sekitarnya. Ketiga-tiga buah daerah Samaria itu kami tetapkan menjadi satu dengan Yudea. Hal itu akan menguntungkan orang yang membawa persembahan ke Yerusalem, oleh sebab cukai tahunan daripada hasil tanaman dan buah-buahan bukan lagi untuk raja, tetapi untuk Rumah Allah.
35 Mulai hari ini kami juga membebaskan mereka daripada membayar cukai sepersepuluhan, cukai garam, dan semua cukai khas untuk raja.
36 Tidak satu pun fasal yang tersebut di dalam surat ini boleh dibatalkan mulai sekarang untuk selama-lamanya.
37 Sila buatkan salinan surat perintah ini untuk diberikan kepada Yonatan supaya diletakkan di Bukit Sion sehingga dapat dilihat oleh semua orang.”
38 Raja Demetrius melihat bahawa negeri baginda aman dan tenteram di bawah pemerintahan baginda, dan tidak ada lagi yang memberi perlawanan terhadap baginda. Maka dibubarkannya seluruh tentera baginda. Semua askar disuruh pulang ke rumah masing-masing, kecuali pasukan tentera asing yang diupah dari kepulauan Yunani. Kerana tindakan itu, askar-askar yang bekerja sejak raja-raja yang terdahulu mula membenci Raja Demetrius.