18 Dia takut mereka akan mengatakan bahawa Yonatan dibunuh kerana Simon tidak mahu mengirim wang dan kedua-dua orang anak itu.
19 Maka diturutinya permintaan Trifon, tetapi Trifon mengingkari janjinya dan tidak melepaskan Yonatan.
20 Kemudian Trifon maju melalui jalan lain ke Adora untuk menduduki dan memusnahkan negeri itu. Tetapi Simon dan tenteranya merintanginya ke mana pun Trifon pergi.
21 Sementara itu tentera musuh di kubu Yerusalem mengirim utusan-utusan kepada Trifon untuk mendesaknya supaya lekas datang melalui padang gurun dan membawa perbekalan bagi mereka.
22 Trifon menyiapkan seluruh pasukan berkudanya untuk pergi ke situ. Tetapi malam itu salji turun amat banyak sehingga mereka tidak dapat mara. Maka Trifon mundur dan pergi ke Gilead.
23 Ketika mereka sudah mendekati kota Baskama, Trifon membunuh Yonatan, dan jenazahnya dimakamkan di situ.
24 Sesudah itu Trifon berpatah balik dan pulang ke negerinya.