45 Penduduk kota, laki-laki, perempuan, dan anak-anak naik ke atas tembok kota dan mengoyak pakaian mereka sebagai tanda sedih. Mereka berteriak-teriak memohon Simon berdamai dengan mereka.
46 Mereka berseru, “Kasihanilah kami! Jangan balas kejahatan kami!”
47 Maka Simon berdamai dengan mereka dan tidak memerangi mereka. Tetapi dia mengusir penduduk kota dan membersihkan rumah-rumah mereka daripada patung-patung berhala. Kemudian dia dan anak buahnya memasuki kota sambil menyanyikan lagu pujian.
48 Segala sesuatu yang mencemarkan kota dibuangnya, lalu ditempatkannya di sana orang yang taat kepada Taurat Musa. Dia juga memperkuat pertahanan kota dan mendirikan sebuah istana bagi dirinya.
49 Sementara itu tentera pendudukan yang menduduki kubu di Yerusalem tidak dapat keluar ke daerah atau kembali untuk berjual beli. Mereka sangat kekurangan makanan, dan cukup banyak di kalangan mereka mati kelaparan.
50 Akhirnya mereka mohon berdamai dengan Simon. Dia setuju, tetapi mereka diusir dari situ, lalu kubu itu dibersihkan daripada segala pencemaran.
51 Pada tarikh dua puluh tiga bulan kedua tahun 171 Simon dan anak buahnya memasuki kubu itu. Mereka membawa daun palma dan menyanyikan lagu pujian dan syukur dengan diiringi kecapi, simbal dan dandi, kerana musuh besar Israel sudah dimusnahkan.