34 Diperkuatnya pula kota pelabuhan Yope dan kota Gezer di perbatasan Asdod yang dahulu diduduki tentera musuh. Di kota-kota itu ditempatkannya orang Yahudi, dan mereka diperlengkapi dengan apa sahaja yang diperlukan oleh mereka untuk membina kota itu semula.
35 Ketika rakyat melihat kesetiaan Simon dan segala usahanya untuk kejayaan bangsanya, dia dijadikan Imam Agung dan pemimpin mereka. Hal itu dilakukan oleh mereka kerana jasa-jasa dan kesetiaannya, kerana dia telah menjalankan keadilan dan dalam segala hal berusaha untuk meningkatkan darjat bangsanya.
36 Dalam masa pemerintahannya Simon berjaya menumpas orang asing dari negeri Yudea, juga tentera pendudukan musuh yang tinggal di kubu di Yerusalem dan yang biasa keluar dari situ untuk mencemarkan persekitaran Rumah Allah.
37 Lalu ditempatkannya orang Yahudi di kubu itu dan diperkuatkannya juga demi keamanan kota Yerusalem dan seluruh negeri. Tembok-tembok kota Yerusalem ditinggikannya.
38 Kerana semua jasa itu, Raja Demetrius mengukuhkannya sebagai Imam Agung.
39 Raja sangat menghormati Simon dan memberinya gelaran Sahabat Raja.
40 Hal itu dilakukannya kerana baginda mendengar bahawa orang Roma menyebut orang Yahudi sahabat, sekutu dan saudara mereka. Baginda juga mendengar bahawa utusan Simon diterima dengan segala hormat di Roma.