36 Dalam masa pemerintahannya Simon berjaya menumpas orang asing dari negeri Yudea, juga tentera pendudukan musuh yang tinggal di kubu di Yerusalem dan yang biasa keluar dari situ untuk mencemarkan persekitaran Rumah Allah.
37 Lalu ditempatkannya orang Yahudi di kubu itu dan diperkuatkannya juga demi keamanan kota Yerusalem dan seluruh negeri. Tembok-tembok kota Yerusalem ditinggikannya.
38 Kerana semua jasa itu, Raja Demetrius mengukuhkannya sebagai Imam Agung.
39 Raja sangat menghormati Simon dan memberinya gelaran Sahabat Raja.
40 Hal itu dilakukannya kerana baginda mendengar bahawa orang Roma menyebut orang Yahudi sahabat, sekutu dan saudara mereka. Baginda juga mendengar bahawa utusan Simon diterima dengan segala hormat di Roma.
41 Rakyat Yahudi dan imam-imam mereka telah berkenan mengangkat Simon dan keturunannya menjadi pemimpin dan Imam Agung mereka, sehingga tampil seorang nabi yang dapat dipercayai.
42 Simon dilantik menjadi penguasa negara dan panglima tentera. Dia berhak melantik orang yang bertanggungjawab atas perlengkapan tentera dan kota-kota berkubu, ketua pekerjaan umum dan pemerintahan daerah. Dia juga diberi kuasa untuk mengurus Rumah Allah.