38 Kerana semua jasa itu, Raja Demetrius mengukuhkannya sebagai Imam Agung.
39 Raja sangat menghormati Simon dan memberinya gelaran Sahabat Raja.
40 Hal itu dilakukannya kerana baginda mendengar bahawa orang Roma menyebut orang Yahudi sahabat, sekutu dan saudara mereka. Baginda juga mendengar bahawa utusan Simon diterima dengan segala hormat di Roma.
41 Rakyat Yahudi dan imam-imam mereka telah berkenan mengangkat Simon dan keturunannya menjadi pemimpin dan Imam Agung mereka, sehingga tampil seorang nabi yang dapat dipercayai.
42 Simon dilantik menjadi penguasa negara dan panglima tentera. Dia berhak melantik orang yang bertanggungjawab atas perlengkapan tentera dan kota-kota berkubu, ketua pekerjaan umum dan pemerintahan daerah. Dia juga diberi kuasa untuk mengurus Rumah Allah.
43 Seluruh rakyat harus taat kepadanya dalam segala hal. Semua surat perjanjian rasmi harus dibuat atas namanya. Dia diberi hak untuk memakai pakaian kerajaan dengan kancing emas.
44 Tidak seorang pun daripada kalangan rakyat atau imam yang mempunyai hak untuk membatalkan sesuatu daripada keputusan-keputusan itu atau menentang perintah Simon. Dilarang juga mengadakan perhimpunan di negeri tanpa izinnya, atau memakai pakaian kerajaan dengan kancing emas.