2 Maka Simon berkata kepada Yohanes dan Yudas kedua-dua orang anaknya yang sulung, “Seluruh keluarga ayahku, saudara-saudaraku dan aku sendiri seumur hidup berjuang untuk Israel. Berkali-kali kami berjaya membebaskan Israel.
3 Sekarang aku sudah tua. Tetapi berkat rahmat Allah, kamu sekarang sudah cukup besar. Kamu harus menggantikan aku dan adikku untuk berjuang bagi bangsa kita. Semoga Allah sendiri menolong kamu.”
4 Kemudian Yohanes memilih 20,000 orang askar dan pasukan berkuda dari negeri itu, dan mereka mara melawan Kendebeus. Mereka bermalam di Modein.
5 Esoknya pagi-pagi lagi mereka berangkat ke dataran. Di situ mereka didatangi oleh sejumlah besar pasukan berkuda dan pasukan tentera berjalan kaki, tetapi di antara kedua-dua pasukan itu ada sebatang sungai.
6 Yohanes dan pasukannya berkhemah berhadapan dengan pasukan musuh. Apabila Yohanes melihat askar-askarnya takut menyeberang sungai, dia sendiri menyeberangnya terlebih dahulu. Apabila melihat hal itu anak buahnya menyusul.
7 Lalu Yohanes membahagi tenteranya. Dia menempatkan pasukan berkuda di tengah-tengah pasukan tentera berjalan kaki, kerana pasukan berkuda musuh sangat besar jumlahnya.
8 Trompet tanda menyerang dibunyikan. Kendebeus dan tenteranya mengalah dan banyak antara mereka cedera. Tentera yang lain lari ke kubu mereka di Kidron.