17 Para pegawai raja berkata kepada Matatias, “Tuan seorang pemimpin yang besar dan terhormat di kota ini dan disokong oleh anak-anak dan kaum keluarga tuan.
18 Baiklah tuan menjadi orang pertama yang melakukan perintah raja. Semua bangsa lain, penduduk Yudea, serta semua orang yang masih tinggal di Yerusalem sudah melakukannya. Kalau tuan menurut, tuan dan anak-anak tuan akan diberi gelaran ‘Sahabat Raja’ dan dihormati dengan pemberian emas, perak, dan banyak hadiah yang lain.”
19 Matatias menjawabnya dengan suara kuat, “Biarlah semua bangsa dalam lingkungan kerajaan ini taat kepada raja dan meninggalkan agama nenek moyang mereka.
20 Saya, anak-anak saya, dan kaum keluarga saya tetap setia kepada perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang kami.
21 Dengan bantuan Allah, kami akan tetap berpegang pada Taurat dan perintah-perintah-Nya.
22 Kami tak mahu mentaati perintah raja dan tak mahu menyimpang sedikit pun daripada cara beribadat kami.”
23 Selepas sahaja dia selesai bercakap, seorang Yahudi dari Modein tampil ke hadapan orang ramai untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, sesuai dengan perintah raja.