22 Kami tak mahu mentaati perintah raja dan tak mahu menyimpang sedikit pun daripada cara beribadat kami.”
23 Selepas sahaja dia selesai bercakap, seorang Yahudi dari Modein tampil ke hadapan orang ramai untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, sesuai dengan perintah raja.
24 Apabila melihat orang itu, Matatias menjadi marah sekali. Kemarahannya meluap-luap sehingga badannya gementar. Dia maju dan membunuh orang itu dekat mazbah.
25 Pegawai raja yang memaksa orang mempersembahkan korban dibunuhnya juga. Lalu dia merobohkan mazbah itu.
26 Dengan cara itu Matatias menunjukkan semangatnya yang besar untuk membela Taurat, seperti yang dilakukan Pinehas ketika membunuh Zimri anak Salom.
27 Kemudian Matatias mengelilingi kota sambil berseru, “Siapa yang setia kepada perjanjian Allah dan ingin taat kepada Taurat-Nya, ikut aku!”
28 Lalu dia dan anak-anaknya meninggalkan segala milik mereka di kota dan melarikan diri ke pergunungan.