24 Apabila melihat orang itu, Matatias menjadi marah sekali. Kemarahannya meluap-luap sehingga badannya gementar. Dia maju dan membunuh orang itu dekat mazbah.
25 Pegawai raja yang memaksa orang mempersembahkan korban dibunuhnya juga. Lalu dia merobohkan mazbah itu.
26 Dengan cara itu Matatias menunjukkan semangatnya yang besar untuk membela Taurat, seperti yang dilakukan Pinehas ketika membunuh Zimri anak Salom.
27 Kemudian Matatias mengelilingi kota sambil berseru, “Siapa yang setia kepada perjanjian Allah dan ingin taat kepada Taurat-Nya, ikut aku!”
28 Lalu dia dan anak-anaknya meninggalkan segala milik mereka di kota dan melarikan diri ke pergunungan.
29-30 Pada waktu itu ada banyak orang Israel lain yang ingin memelihara hubungan baik dengan Allah dan mentaati Taurat-Nya. Mereka membawa anak isteri serta ternakan mereka dan melarikan diri ke padang gurun supaya terhindar daripada penganiayaan yang dahsyat.
31 Tidak lama kemudian para pegawai raja dan pasukan di kubu di Yerusalem diberitahu bahawa sejumlah orang yang mengingkari perintah raja telah lari untuk bersembunyi di padang gurun.