38 Lalu mereka diserang musuh pada hari Sabat. Lebih kurang seribu orang mati, termasuk lelaki, wanita dan anak-anak berserta ternakan mereka.
39 Apabila mendengar berita itu, Matatias dan kawan-kawannya berasa sangat sedih
40 dan berkata sesama mereka, “Kalau kita semua berbuat seperti saudara-saudara kita dan tak mahu bertempur melawan orang asing untuk mempertahankan nyawa dan agama kita, pasti tak lama lagi kita akan lenyap dari muka bumi.”
41 Pada hari itu mereka memutuskan untuk memberi tentangan apabila mereka diserang pada hari Sabat, supaya mereka tidak mati semua seperti saudara-saudara mereka yang habis dibunuh di tempat persembunyian mereka.
42 Kemudian Matatias dan anak buahnya disertai oleh sekelompok orang yang berbakti kepada Allah dan disebut kaum Mursyid, orang Israel yang gagah perkasa, dan sesiapa sahaja yang mahu membela Taurat.
43 Selain itu setiap orang yang melarikan diri daripada penganiayaan, ikut bergabung dengan mereka untuk memperkuat pasukan mereka.
44 Lalu Matatias membentuk sepasukan tentera dan dengan geramnya menyerang orang Yahudi yang berdosa dan melanggar Taurat. Mereka yang terlepas harus melarikan diri kepada bangsa asing supaya selamat.