24 Mereka mengejar musuh di jalan yang menurun dari Bet-Horon hingga ke dataran dan membinasakan lebih kurang 800 orang, sedangkan yang lainnya melarikan diri ke Filistea.
25 Sejak itu Yudas dan saudara maranya sangat ditakuti dan disegani oleh bangsa-bangsa di sekeliling.
26 Semua bangsa mempercakapkan pertempuran-pertempuran yang dilakukan Yudas, dan hal itu terdengar juga oleh Raja Antiokhus.
27 Ketika Raja Antiokhus mendengar kejadian itu, baginda sangat murka. Baginda memberi perintah supaya seluruh angkatan perang kerajaannya bergabung menjadi bala tentera yang sangat kuat.
28 Para askar diberi satu tahun gaji daripada perbendaharaan kerajaan, dan mereka disuruh siap siaga menghadapi apa sahaja.
29 Tetapi kemudian diketahuinya bahawa tidak cukup wang di dalam perbendaharaan. Pendapatan wang cukai dari wilayah-wilayah telah berkurangan, kerana kekacauan dan keresahan gara-gara raja sendiri ketika baginda menghapuskan undang-undang yang wujud sejak zaman dahulu.
30 Raja Antiokhus biasa memberi hadiah-hadiah dengan murah hati, melebihi raja-raja sebelumnya. Tetapi sekarang baginda khuatir wang tidak cukup untuk hadiah. Bahkan untuk membiayai perbelanjaan yang biasa pun tidak cukup. Hal itu pernah terjadi satu atau dua kali dahulu.