29 Tetapi kemudian diketahuinya bahawa tidak cukup wang di dalam perbendaharaan. Pendapatan wang cukai dari wilayah-wilayah telah berkurangan, kerana kekacauan dan keresahan gara-gara raja sendiri ketika baginda menghapuskan undang-undang yang wujud sejak zaman dahulu.
30 Raja Antiokhus biasa memberi hadiah-hadiah dengan murah hati, melebihi raja-raja sebelumnya. Tetapi sekarang baginda khuatir wang tidak cukup untuk hadiah. Bahkan untuk membiayai perbelanjaan yang biasa pun tidak cukup. Hal itu pernah terjadi satu atau dua kali dahulu.
31 Raja amat susah hati dan memutuskan untuk pergi ke Persia dan memungut cukai dari semua wilayah di sana dan mengumpulkan wang yang banyak.
32 Lisias, seorang terkemuka keturunan raja, dilantik menjadi gabenor untuk mengurus kerajaan dari Sungai Efrat sehingga ke perbatasan Mesir.
33 Lisias juga dijadikan wali puteranya Antiokhus yang Kelima, sehingga raja kembali.
34 Selain itu Lisias diserahi semua gajah dan separuh daripada tentera kerajaan. Lalu dia diberi petunjuk tentang semua rancangan raja, terutama sekali tentang penduduk Yudea dan Yerusalem.
35 Lisias diperintahkan untuk mengirim sepasukan tentera bagi menentang orang Yahudi, khususnya yang masih tertinggal di Yerusalem, untuk menggempur dan mematahkan kekuatan mereka, dan menumpas mereka sama sekali sehingga mereka tidak diingati lagi.