37 Lalu dalam tahun 147 raja bersama dengan pasukan tentera selebihnya berangkat dari Antiokhia, ibu kota baginda. Baginda menyeberang Sungai Efrat dan menjelajah dataran tinggi Persia.
38 Kemudian Lisias memilih tiga orang tokoh terkemuka daripada kalangan sahabat raja untuk menjadi pemimpin pasukan tentera. Mereka ialah Nikanor, Gorgias, dan Ptolemeus anak Dorimenus.
39 Mereka dikirim bersama dengan 40,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 7,000 orang pasukan berkuda untuk menyerbu dan membinasakan negeri Yudea seperti yang diperintahkan oleh raja.
40 Maka berangkatlah mereka dengan seluruh pasukan. Apabila sampai di dataran dekat dengan Emaus, mereka berkhemah di sana.
41 Pasukan tentera dari Siria dan Filistea bergabung dengan mereka. Para pedagang dari wilayah itu, setelah mendengar kekuatan tentera, datang ke perkhemahan. Mereka membawa banyak wang dan rantai dengan harapan untuk membeli orang Israel sebagai hamba.
42 Yudas dan saudara-saudaranya menyedari bahaya yang bertambah besar, kerana pasukan-pasukan tentera asing itu berkhemah di wilayah mereka. Mereka juga mendengar bahawa raja telah memberi perintah untuk menumpas seluruh bangsa mereka sehingga habis.
43 Tetapi mereka berkata satu sama lain, “Mari kita bangkitkan semula bangsa kita daripada kebinasaan dan berjuang untuk tanah air dan Rumah Allah!”