31 Semoga dengan cara itu juga Kauserahkan pasukan tentera ini kepada tangan umat-Mu Israel. Biarlah mereka menjadi malu kerana mengharapkan tentera dan pasukan berkuda mereka.
32 Buatlah mereka ketakutan dan luluhkanlah kekuatan mereka. Biarlah mereka kalah dan gementar.
33 Hendaklah Kautumpas mereka dengan pedang orang yang mengasihi Engkau. Semoga Engkau dipuji oleh semua orang yang mengakui Engkau.”
34 Lalu mereka mula berperang, dan dalam pertempuran seorang lawan seorang, kira-kira 5,000 orang daripada pasukan Lisias binasa.
35 Lisias melihat pasukannya melarikan diri, sedangkan Yudas dan anak buahnya mara dengan keberanian yang berkobar-kobar dan bersedia mati sebagai kesateria. Maka Lisias berundur dan pergi ke Antiokhia. Di sana dia mengupah orang asing supaya dapat kembali ke Yudea dengan pasukan tentera yang lebih besar.
36 Yudas dan saudara-saudaranya berkata, “Musuh kita sudah ditumpaskan. Mari kita ke Yerusalem untuk membersihkan Rumah Allah dan mentahbiskannya semula.”
37 Lalu seluruh tentera pergi bersama-sama ke Bukit Sion.