38 Mereka mendapati Rumah Allah ditinggalkan kosong, mazbah tercemar, dan pintu gerbang terbakar. Halaman sudah ditumbuhi semak belukar seperti di hutan atau di gunung. Bilik-bilik para imam sudah roboh.
39 Lalu mereka mengoyak pakaian mereka kerana sedih, menangis dengan nyaring, dan menaburkan abu di atas kepala.
40 Mereka meniarap di tanah, dan ketika terdengar semboyan trompet, setiap orang berseru kepada Tuhan.
41 Kemudian Yudas menyuruh askarnya menyerang orang yang ada di dalam kubu, sementara dia membersihkan Rumah Allah.
42 Dia memilih imam-imam yang layak dan yang setia kepada Taurat.
43 Mereka membersihkan Rumah Allah, mengambil batu-batu yang dicemarkan dan meletaknya di tempat yang najis.
44 Mereka berunding tentang apa yang harus dilakukan terhadap mazbah yang sudah dicemarkan. Mazbah itu tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan.