40 Sebahagian daripada bala tentera raja tersebar di lereng gunung dan sebahagian lagi di dataran rendah, tetapi mereka semua mara dengan terarah dan teratur.
41 Semua orang takut dan gempar mendengar teriakan, bunyi senjata yang gemerencing, dan derap kaki tentera yang besar dan kuat itu.
42 Lalu Yudas dan pasukannya mara ke medan pertempuran dan membunuh 600 orang tentera raja.
43 Seorang bernama Eleazar Avaran tiba-tiba melihat seekor gajah yang lebih besar daripada yang lain dan dilengkapi dengan baju perang kerajaan. Dia menyangka gajah itu dikendarai oleh raja.
44-46 Dengan berani dia lari menuju gajah yang di tengah-tengah pasukan tentera berjalan kaki. Sementara mara, dia membunuh askar-askar di kiri kanannya sehingga musuh mundur dari kedua-dua sisinya. Lalu dia menyusup di bawah gajah itu dan menikamnya sehingga mati. Gajah itu rebah ke tanah tepat di atas Eleazar sehingga dia pun gugur. Begitulah Eleazar mengorbankan hidupnya untuk menyelamatkan bangsanya dan untuk mendapat nama harum yang abadi.
47 Tetapi orang Yahudi melihat bahawa tentera raja sangat kuat dan bertekad untuk berperang. Oleh itu tentera Yahudi mengundur diri.
48 Kemudian tentera raja mara ke Yerusalem untuk menyerang orang Yahudi di sana. Mereka memerangi seluruh daerah Yudea dan Yerusalem.