48 Kemudian tentera raja mara ke Yerusalem untuk menyerang orang Yahudi di sana. Mereka memerangi seluruh daerah Yudea dan Yerusalem.
49 Lalu raja mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi di Bet-Zur. Kebetulan tahun itu tahun Sabat, dan mereka tidak boleh menanami ladang. Jadi persediaan makanan mereka tidak cukup untuk dapat bertahan dalam pengepungan yang lama. Maka mereka terpaksa meninggalkan kota.
50 Dengan demikian kota Bet-Zur direbut oleh raja. Baginda menempatkan sebuah pasukan tentera untuk menjaga tempat itu.
51 Berhari-hari lamanya baginda mengepung Rumah Allah. Baginda menyuruh orang membuat menara-menara pengepungan dan kayu-kayu pelantak, api dan batu, pelempar anak panah dan batu.
52 Orang Yahudi juga membuat senjata untuk menangkis senjata musuh. Pertempuran itu berlangsung lama sekali.
53 Persediaan makanan di Rumah Allah sudah habis, kerana tahun itu tahun Sabat. Sisa makanan pun sudah dihabiskan oleh orang Yahudi yang berlindung diri di Yudea daripada bangsa lain.
54 Oleh sebab bencana kelaparan itu orang terpaksa berpencar ke tempat masing-masing, dan hanya sedikit orang yang tinggal di Rumah Allah.