55-56 Sementara itu Lisias mendengar bahawa Filipus dengan tentera kerajaan sudah kembali dari Persia dan Media. Filipus telah ditugaskan oleh Raja Antiokhus semasa hidupnya untuk mengasuh Antiokhus putera baginda sehingga menjadi raja. Lisias juga mendengar bahawa Filipus berusaha untuk merebut kuasa.
57 Maka Lisias memerintahkan untuk segera berangkat. Dia berkata kepada raja, para panglima, dan anak buahnya, “Kita semakin hari semakin lemah. Perbekalan kita tinggal sedikit dan tempat yang kita kepung ini sangat kuat. Selain itu ada urusan negara yang sangat mendesak.
58 Kerana itu baiklah kita berdamai sahaja dengan orang Yahudi dan seluruh bangsa mereka.
59 Biarlah kita izinkan mereka hidup menurut hukum mereka sendiri seperti dahulu. Justeru kerana kita menghapuskan hukum dan adat mereka, kita menimbulkan kemarahan mereka sehingga mereka melakukan semua itu.”
60 Usul itu disetujui oleh raja dan para panglima baginda. Maka Lisias mengajukan usul perdamaian kepada orang Yahudi, dan mereka menerimanya.
61 Kemudian raja dan para panglima mengangkat sumpah bahawa mereka akan memegang janji mereka. Oleh itu orang Yahudi keluar dari kubu.
62 Tetapi setelah raja tiba di Bukit Sion dan melihat bahawa kubunya sangat kuat, baginda mengingkari janjinya dan memerintahkan supaya tembok di sekelilingnya dibongkar.