7 Raja Antiokhus ditawan, lalu baginda dan pengganti-penggantinya diwajibkan membayar cukai yang berat. Selain itu baginda harus menyerahkan tawanan dan tanah, iaitu
8 India, Media, Lidia dan beberapa buah wilayah lain yang paling baik. Lalu semuanya diserahkan orang Roma kepada Raja Eumenes.
9 Ketika orang Yunani membuat rancangan untuk menyerang dan menumpaskan orang Roma,
10 rancangan itu ketahuan, dan seorang panglima Roma dikirim untuk memerangi mereka. Banyak orang Yunani cedera, anak isteri mereka ditawan, milik mereka dirampas, negeri mereka diduduki, kubu-kubu mereka dirobohkan, dan mereka sendiri diperhamba hingga hari ini.
11 Kerajaan-kerajaan lain dan semua pulau yang pernah melawan mereka dimusnahkan dan penduduknya diperhamba.
12 Tetapi negara-negara yang bersahabat dengan mereka atau mengharapkan perlindungan pada mereka tetap diperlakukan sebagai sahabat.
13 Mereka menakluk banyak kerajaan yang dekat dan juga yang jauh. Sesiapa sahaja yang mendengar tentang perbuatan mereka menjadi takut. Ada orang yang dibantu menjadi raja, dan ada raja yang digulingkan oleh mereka. Mereka sudah mencapai puncak kekuasaan.