58 Kemudian semua orang Yahudi yang tidak mengendahkan hukum bersekongkol. Kata mereka, “Lihat, Yonatan dan anak buahnya tinggal di sini dengan aman dan tenteram. Baiklah kita panggil Bakhides supaya dia dapat menangkap mereka semua dalam waktu satu malam saja.”
59 Maka pergilah mereka berunding dengan Bakhides.
60 Lalu Bakhides datang dengan banyak pasukan tentera. Dia mengirim surat-surat rahsia kepada semua sekutunya di Yudea supaya mereka menangkap Yonatan dan pengikut-pengikutnya. Tetapi usaha itu tidak berjaya kerana komplot mereka terbongkar.
61 Yonatan dan anak buahnya menangkap lima puluh orang Yahudi yang mendalangi komplotan itu dan membunuh mereka semua.
62 Lalu Yonatan, Simon, dan pasukan-pasukan mereka melarikan diri ke Bet-Basi di padang gurun. Puing-puing kota itu dibina semula oleh mereka dan pertahanannya diperkukuh.
63 Apabila mendengar hal itu, Bakhides mengumpulkan seluruh tenteranya dan juga mengerahkan para penyokongnya di Yudea.
64 Lalu dia pergi dan mengepung kota Bet-Basi. Berhari-hari kota itu diserangnya dengan alat-alat penggempur buatan sendiri.