Amsal 15 BMDC

1 Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah.

2 Kata-kata orang bijak membuat pengetahuan menarik hati, tetapi kata-kata orang bodoh hanya kebodohan.

3 TUHAN nampak apa yang berlaku di segala tempat; Dia memperhatikan kita, sama ada kita berbuat baik atau jahat.

4 Kata-kata yang baik membangkitkan semangat, tetapi kata-kata yang kesat mematahkan semangat.

5 Orang yang bodoh mengabaikan ajaran bapa; tetapi orang yang bijak menerima tegur ajar.

6 Kekayaan orang baik kekal, tetapi kekayaan orang jahat hilang pada masa kesusahan.

7 Pengetahuan disebarluaskan oleh orang bijak, bukan oleh orang bodoh.

8 TUHAN berkenan apabila orang baik berdoa, tetapi Dia membenci korban yang dipersembahkan oleh orang jahat.

9 TUHAN membenci cara hidup orang derhaka, tetapi Dia mengasihi orang yang berusaha untuk melakukan kehendak-Nya.

10 Orang yang berbuat jahat akan dihukum dengan berat; orang yang tidak mahu menerima tegur ajar akan mati.

11 Jika TUHAN mengetahui segala sesuatu tentang dunia orang mati, pasti Dia juga mengetahui fikiran manusia.

12 Orang yang sombong tidak suka ditegur ajar; dia tidak pernah meminta nasihat daripada orang yang lebih bijak.

13 Hati yang gembira membuat wajah berseri-seri; hati yang sedih mematahkan semangat.

14 Orang yang bijak suka belajar, tetapi orang yang bodoh puas dengan kebodohan.

15 Kehidupan orang miskin sentiasa susah, tetapi orang yang bersukacita sentiasa menikmati hidup.

16 Lebih baik miskin dan takut kepada TUHAN, daripada kaya dan cemas.

17 Lebih baik makan sayur tetapi disertai kasih sayang, daripada makan daging lazat tetapi disertai kebencian.

18 Orang yang cepat marah menimbulkan pertengkaran, tetapi orang yang sabar mendatangkan perdamaian.

19 Orang malas akan selalu mengalami kesusahan, tetapi orang jujur tidak menemui kesukaran.

20 Anak yang bijak menyukakan hati bapanya; anak yang bodoh menghina ibunya.

21 Orang bodoh puas dengan kebodohan, tetapi orang bijak melakukan apa yang betul.

22 Rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat; rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan.

23 Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan.

24 Orang bijak mengambil jalan mendaki yang menuju kehidupan, bukan jalan menurun yang menuju maut.

25 TUHAN akan merobohkan rumah orang sombong, tetapi tanah milik seorang balu dilindungi-Nya.

26 TUHAN membenci fikiran yang keji, tetapi berkenan kepada kata-kata yang baik.

27 Orang yang mencari keuntungan dengan cara haram, menghancurkan keluarga mereka. Orang yang tidak makan suap akan berumur panjang.

28 Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab. Orang jahat menjawab tanpa berfikir sehingga mendatangkan kesusahan.

29 TUHAN mendengarkan doa orang baik, tetapi Dia tidak mengendahkan orang jahat.

30 Wajah gembira meriangkan hati, berita baik menyenangkan hati.

31 Orang yang mengendahkan tegur ajar, tergolong orang bijak.

32 Orang yang tidak mahu belajar, tidak menghargai diri mereka. Orang yang menerima tegur ajar, menjadi lebih bijak.

33 Hormat dan takut kepada TUHAN adalah cara memperoleh hikmat. Kehormatan didahului oleh kerendahan hati.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31