Amsal 16 BMDC

1 Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang memberikan keputusan.

2 Setiap perbuatan orang mungkin baik pada pandangannya sendiri, tetapi TUHAN yang menilai maksud hatinya.

3 Serahkanlah segala usahamu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan berjaya.

4 Segala yang dibuat TUHAN ada tujuannya, dan tujuan bagi orang jahat adalah kebinasaan.

5 TUHAN membenci orang sombong; Dia tidak membiarkan mereka terlepas daripada hukuman.

6 Orang yang taat setia kepada Allah akan mendapat pengampunan. Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN akan terhindar daripada kejahatan.

7 Apabila kamu menyenangkan hati TUHAN, musuh-musuh dapat kamu jadikan kawan.

8 Lebih baik berpendapatan kecil asalkan halal, daripada berpendapatan besar tetapi haram.

9 Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang menentukan jalan hidup manusia.

10 Raja bertitah dengan kuasa Allah; keputusan raja sentiasa betul.

11 TUHAN menghendaki timbangan dan ukuran yang tepat; jangan berlaku curang ketika berniaga.

12 Raja tidak boleh membiarkan kejahatan, kerana keadilan mengukuhkan kerajaan.

13 Raja suka mendengar apa yang benar; raja berkenan kepada orang yang bercakap jujur.

14 Jika raja murka, mungkin ada orang yang akan dibunuh; orang yang bijak berusaha untuk meredakan kemurkaan raja.

15 Anugerah raja bagaikan awan yang menurunkan hujan pada musim bunga; anugerahnya memberikan hidup sejahtera.

16 Jauh lebih baik mendapat hikmat dan pengetahuan daripada mendapat emas dan perak.

17 Orang baik menjauhi jalan kejahatan; orang yang menjaga cara hidupnya, melindungi dirinya.

18 Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan mengakibatkan keruntuhan.

19 Lebih baik rendah hati dan miskin, daripada mengikut orang sombong dan menerima bahagian barang rampasan mereka.

20 Orang yang memperhatikan ajaran akan berjaya; orang yang percaya kepada TUHAN akan berbahagia.

21 Orang yang bijak terpuji kerana pengertiannya. Semakin halus perkataannya, semakin dapat menyakinkan orang.

22 Bagi orang yang bijak, hikmat bagaikan sumber hidup bahagia. Tetapi orang yang bodoh diseksa oleh kebodohannya sendiri.

23 Orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan.

24 Kata-kata yang lembut bagaikan madu - manis rasanya serta menyihatkan badan.

25 Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.

26 Keinginan untuk makan mendorong seseorang berusaha lebih giat, kerana dia ingin memuaskan seleranya.

27 Orang jahat sentiasa berusaha untuk mencelakakan orang lain; kata-kata mereka jahat seperti api yang membakar.

28 Orang jahat mengumpat; mereka menimbulkan pertengkaran dan menceraikan sahabat akrab.

29 Orang ganas menipu kawan mereka dan membawa mereka ke dalam bahaya.

30 Berhati-hatilah terhadap mereka yang tersenyum dan mengenyitkan mata kepada kamu; mereka mempunyai niat jahat.

31 Orang yang jujur akan dianugerahkan umur panjang; ubannya bagaikan mahkota yang mulia.

32 Lebih baik orang bersabar daripada berkuasa. Lebih baik orang tahu menahan diri daripada menguasai seluruh kota.

33 Manusia membuang undi untuk mengetahui kehendak Allah, tetapi Allah sendiri yang menentukan jawapannya.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31