1 Jangan iri hati terhadap orang jahat, dan jangan bersahabat dengan mereka.
2 Mereka hanya memikirkan kekejaman dan memperkatakan keganasan.
3 Rumah tangga didirikan di atas asas hikmat dan pengertian.
4 Apabila ada pengetahuan, bilik-biliknya dilengkapi barang-barang yang berharga dan indah.
5 Hikmat lebih baik daripada kekuatan. Sesungguhnya pengetahuan lebih baik daripada kekuatan,
6 kerana kamu harus membuat rancangan dengan baik-baik sebelum kamu berperang. Semakin banyak nasihat yang kamu terima, semakin besar pula harapan kamu untuk menang.
7 Orang bodoh tidak dapat memahami kata-kata hikmat. Mereka tidak dapat berkata apa-apa ketika hal-hal penting dibincangkan.
8 Jika kamu sentiasa merancangkan kejahatan, kamu akan dikenal sebagai pengacau.
9 Cadangan yang difikirkan orang bodoh adalah dosa semata-mata. Orang yang selalu mencela orang lain dibenci oleh orang.
10 Orang yang putus asa pada saat genting, sesungguhnya orang lemah.
11 Jangan ragu-ragu menyelamatkan orang yang sedang dihukum mati dengan tidak adil.
12 Barangkali kamu berkata bahawa hal itu bukan urusan kamu, tetapi Allah tahu dan Dia mengadili kamu menurut maksud hati kamu. Dia mengawasi kamu. Dia tahu dan Dia akan membalas kamu menurut perbuatan kamu.
13 Hai anakku, makanlah madu kerana madu itu baik. Sebagaimana madu daripada sarang lebah itu manis dimakan,
14 begitu juga hikmat baik bagi jiwamu. Jika kamu memperoleh hikmat, masa hadapanmu terjamin dan harapanmu tidak hilang.
15 Jangan seperti orang jahat yang bersepakat merompak orang jujur dan merampas rumah mereka.
16 Walaupun orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula. Tetapi orang jahat akan dihancurkan oleh malapetaka.
17 Jangan bersukacita apabila musuhmu kena celaka, dan jangan tertawa apabila dia jatuh.
18 TUHAN pasti tahu jika kamu tertawa dan Dia tidak suka akan perbuatan itu, lalu tidak lagi menghukum musuhmu itu.
19 Jangan jengkel kerana orang jahat; jangan iri hati terhadap mereka.
20 Orang jahat tidak mempunyai masa depan dan tidak mempunyai harapan.
21 Hai anakku, hormatlah dan takutlah kepada TUHAN dan raja. Jangan adakan hubungan dengan orang yang menentang mereka;
22 orang seperti itu boleh dibinasakan dalam seketika. Ingatlah akan bencana yang dapat ditimpakan oleh Allah ataupun raja!
23 Orang bijak juga berkata begini:Seorang hakim tidak boleh bertindak dengan berat sebelah.
24 Jika orang yang bersalah dinyatakannya tidak bersalah, hakim itu akan dikutuk dan dibenci setiap orang.
25 Tetapi hakim yang menjatuhkan hukuman kepada orang yang bersalah, akan berjaya dan menjadi terkenal.
26 Jawapan yang jujur membuktikan persahabatan yang sejati.
27 Jangan bina rumah sebelum ladang kamu siap. Jangan dirikan rumah tangga sebelum kamu sanggup mencari nafkah.
28 Jangan jadi saksi terhadap seseorang tanpa alasan yang patut, atau berdusta tentang dia.
29 Jangan berkata, “Aku akan membalas perbuatannya terhadapku! Aku akan membalas dendamku!”
30 Aku lalu di ladang dan kebun anggur seorang yang malas dan bodoh.
31 Tempat itu penuh dengan belukar dan lalang. Tembok di sekelilingnya sudah roboh.
32 Setelah aku memperhatikan dan merenungkan hal itu, aku mendapat pelajaran ini:
33 Rehatlah dan tidurlah sebentar, dan jangan buat apa-apa;
34 maka kemiskinan akan datang menyerang kamu seperti perompak yang bersenjata.