Amsal 2 BMDC

Faedah Memiliki Hikmat

1 Hai anakku, terimalah apa yang aku ajarkan dan jangan lupa akan perintahku.

2 Dengarlah apa yang bijaksana dan cubalah memahaminya.

3 Ya, mohonlah dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat pengetahuan dan mintalah pengertian.

4 Carilah perkara itu seperti mencari perak dan harta terpendam.

5 Barulah kamu akan tahu maknanya takut kepada TUHAN, dan kamu akan mendapat pengetahuan tentang Allah.

6 TUHANlah yang memberikan hikmat. Pengetahuan dan pengertian berasal daripada-Nya.

7 Dia memberikan pertolongan dan perlindungan kepada orang yang tulus hati dan jujur.

8 Dia melindungi orang yang berlaku adil, dan mengawal orang yang setia kepada-Nya.

9 Jika kamu mendengar nasihatku, kamu akan tahu apa yang benar, adil, dan tidak berat sebelah. Kamu akan tahu apa yang harus kamu buat.

10 Kamu akan menjadi bijaksana, dan pengetahuanmu akan menyukakan hatimu.

11 Pengertian dan kecerdasanmu akan melindungimu,

12 serta mencegah kamu daripada melakukan perbuatan yang salah, dan juga menjauhkan dirimu daripada orang yang bercakap bohong.

13 Orang seperti itu telah meninggalkan cara hidup yang baik, dan mengambil jalan gelap yang penuh dengan dosa.

14 Mereka mendapat keseronokan daripada perbuatan yang salah dan jahat.

15 Mereka tidak dapat diharap dan tidak dapat dipercayai.

16 Kamu akan dapat menolak godaan perempuan jalang yang berusaha untuk memikat kamu dengan kata-kata manis.

17 Perempuan itu tidak setia kepada suaminya, dan telah melupakan janjinya kepada Allah.

18 Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke arah maut. Pergi ke sana sama seperti pergi ke dunia orang mati.

19 Orang yang melawat perempuan itu tidak pernah kembali ke jalan yang menuju kehidupan.

20 Oleh itu, haruslah kamu ikut teladan orang baik, dan hendaklah kamu hidup menurut kehendak Allah.

21 Orang yang hidup menurut kehendak Allah, iaitu orang yang tulus hati akan hidup di negeri yang dijanjikan Allah.

22 Tetapi orang jahat dan berdosa akan dilempar keluar dari negeri itu oleh Allah, seperti rumput dicabut dari tanah.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31