Amsal 21 BMDC

1 TUHAN menguasai fikiran raja seperti Dia menentukan aliran sungai.

2 Orang menyangka segala perbuatan mereka baik; tetapi ingatlah, TUHAN mengetahui maksud hati manusia.

3 Perbuatan yang baik dan adil lebih menyenangkan hati TUHAN daripada korban yang dipersembahkan.

4 Orang jahat berdosa kerana dikuasai oleh kesombongan dan keangkuhan.

5 Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah tetapi tindakan tergesa-gesa mengakibatkan orang kekurangan.

6 Kekayaan yang diperoleh secara tidak jujur, bukan sahaja tidak kekal tetapi pasti akan membawa maut.

7 Orang jahat tidak mahu melakukan perbuatan adil; keganasan mereka akan memusnahkan mereka.

8 Orang yang bersalah menempuh jalan yang berliku-liku; orang yang baik mengikut jalan yang lurus.

9 Tinggal di bumbung rumah lebih baik daripada tinggal di dalam rumah bersama-sama isteri yang suka bertengkar.

10 Orang jahat sentiasa ingin melakukan kejahatan; mereka tidak berbelas kasihan terhadap sesiapa pun.

11 Hukuman bagi orang yang suka mencemuh menjadi pelajaran kepada orang yang bodoh. Orang bijak mendapat pengetahuan apabila diajar.

12 Allah Yang Maha Adil tahu apa yang berlaku di rumah orang jahat dan Dia akan menghukum mereka sehingga binasa.

13 Orang yang tidak mahu mendengarkan keluhan orang miskin, tidak akan diperhatikan apabila dia sendiri minta pertolongan.

14 Pemberian yang diberikan secara diam-diam kepada orang yang marah, akan meredakan kemarahannya.

15 Apabila keadilan dilaksanakan, orang baik bersukacita, tetapi orang jahat ketakutan.

16 Orang yang menyimpang daripada cara hidup yang berbudi akan menemui ajalnya.

17 Orang yang suka berfoya-foya dan menggemari wain serta makanan lazat tidak akan menjadi kaya.

18 Orang jahat akan merasakan penderitaan yang ditimpakan mereka kepada orang baik.

19 Lebih baik tinggal di padang gurun daripada tinggal bersama-sama isteri yang suka bertengkar dan pemarah.

20 Orang bijak tetap kaya dan makmur, tetapi orang bodoh membazirkan harta mereka.

21 Orang yang jujur dan baik hati berusia panjang. Dia akan dihormati dan diperlakukan dengan adil.

22 Seorang bijak dapat merebut kota yang dipertahankan oleh askar-askar perkasa, dan merobohkan tembok kota yang menjadi harapan mereka.

23 Berhati-hatilah ketika bertutur supaya tidak ditimpa kesukaran.

24 Orang yang sombong dan tinggi hati, suka mencela dan kurang ajar.

25 Orang malas tidak mahu bekerja; dia dibunuh oleh keinginannya.

26 Dia hanya memikirkan keinginannya. Sebaliknya, orang yang taat kepada Allah dapat memberi dengan berlimpah-limpah.

27 TUHAN membenci korban yang dipersembahkan orang jahat, lebih-lebih lagi jika korban itu diberikan dengan maksud jahat.

28 Kesaksian pembohong tidak dapat dipercayai, tetapi kesaksian orang yang dapat dipercayai akan diterima.

29 Orang jujur yakin akan diri mereka sendiri, tetapi orang jahat terpaksa berpura-pura.

30 Kepintaran, kecerdasan, dan kebijaksanaan manusia tidak berguna jika TUHAN menentang kita.

31 Orang menyiapkan kuda untuk berperang, tetapi TUHAN yang memberikan kemenangan.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31