Amsal 5 BMDC

Amaran tentang Zina

1 Hai anakku, dengarkanlah aku. Perhatikanlah kebijaksanaanku dan pengertian yang aku ajarkan kepadamu,

2 supaya kamu tahu membawa diri dan bercakap seperti orang yang berpengetahuan.

3 Mulut perempuan jalang semanis madu dan kata-katanya memikat hati,

4 tetapi kemudian yang tertinggal hanya kepahitan dan penderitaan.

5 Dia akan menyeret kamu ke dunia orang mati. Jalan yang ditempuhnya itu menuju maut.

6 Dia tidak tetap pada jalan yang menuju hidup, tetapi menyimpang dari jalan itu tanpa disedarinya.

7 Oleh itu, hai anak-anak dengarkanlah kata-kataku, dan jangan sekali-kali lupakannya.

8 Jauhilah perempuan seperti itu! Bahkan jangan dekati pintunya.

9 Jika kamu tidak menjauhi perempuan itu, kamu akan kehilangan kehormatan, dan ketika kamu masih muda, nyawa kamu akan direnggut oleh orang yang tidak berbelas kasihan.

10 Semua harta kamu akan dirampas oleh orang yang tidak kamu kenal, dan hasil usaha kamu akan dimiliki orang lain.

11 Pada akhir hidup kamu, kamu akan mengerang kerana badan kamu habis dimakan penyakit.

12 Lalu kamu akan berkata, “Mengapakah selama ini aku membenci nasihat? Mengapakah aku tidak mahu ditegur orang?

13 Aku tidak mendengar ajaran guru-guruku. Aku tidak memperhatikan nasihat mereka.

14 Sekarang aku dihina di hadapan orang ramai.”

15 Setialah kepada isterimu dan kasihilah dia sahaja.

16 Tidak ada gunanya mencari kenikmatan pada orang yang bukan isterimu.

17 Kenikmatan itu khas untuk kamu dengan isterimu, bukan dengan orang lain.

18 Oleh itu hendaklah kamu berbahagia dengan isterimu dan bersukacitalah dengan gadis yang kamu kahwini,

19 gadis yang manis dan jelita seperti rusa. Biarlah kecantikannya memikat kamu, dan cintanya menambat hati kamu.

20 Mengapakah kamu tergila-gila kepada perempuan lain, hai anakku? Mengapakah kamu lebih suka meniduri isteri orang?

21 TUHAN nampak segala perbuatanmu. Ke mana sahaja kamu pergi, kamu diawasi-Nya.

22 Dosa orang jahat bagaikan perangkap. Orang itu akan terjerat oleh dosanya sendiri.

23 Dia akan mati kerana tidak dapat menahan nafsu. Kebodohannya akan membawa dia ke kubur.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31