Amsal 28 BMDC

1 Orang jahat lari walaupun tiada sesiapa yang mengejar mereka, tetapi orang jujur berani seperti singa.

2 Apabila bangsa memberontak, pemerintahnya bertukar-tukar; apabila pemimpin pandai dan bijak, pemerintahannya kuat dan kukuh.

3 Penguasa yang menindas orang miskin bagaikan hujan lebat yang memusnahkan tuaian.

4 Sesiapa yang mengabaikan hukum, memihak orang jahat; sesiapa yang mentaati hukum, memusuhi orang jahat.

5 Orang jahat tidak memahami keadilan; orang yang menyembah TUHAN, sungguh-sungguh memahaminya.

6 Lebih baik miskin dan jujur daripada kaya dan curang.

7 Orang muda yang mentaati hukum adalah bijak. Orang yang bersahabat dengan pemboros memalukan bapanya.

8 Sesiapa yang menjadi kaya dengan mengenakan kadar bunga wang yang tinggi serta memperdaya orang lain, hartanya akan menjadi milik orang yang berbelas kasihan kepada orang miskin.

9 Jika kamu tidak mentaati hukum, doa kamu pun akan menjijikkan.

10 Sesiapa yang menyesatkan orang jujur, akan dijerat oleh perbuatan jahatnya sendiri.Orang yang tidak bersalah akan diberkati sehingga bahagia.

11 Orang kaya sentiasa menganggap diri mereka bijak, tetapi orang miskin yang bijak tahu sifat sebenar orang kaya itu.

12 Apabila orang baik menjadi penguasa, semua orang bersukacita, tetapi jika orang jahat memerintah, semua orang bersembunyi.

13 Sesiapa menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Sesiapa mengakui dan meninggalkan dosanya, akan dikasihani Allah.

14 Berbahagialah orang yang mentaati TUHAN, tetapi orang yang keras kepala akan dimusnahkan.

15 Penguasa jahat yang menindas orang miskin bagaikan singa yang mengaum atau beruang yang menyerang.

16 Penguasa yang bodoh itu kejam, tetapi penguasa yang membenci kecurangan akan memerintah lama.

17 Seorang pembunuh akan merasa dikejar-kejar sampai ke ajalnya. Jangan cuba menolong dia.

18 Orang yang jujur akan selamat, tetapi orang yang menipu akan binasa dengan tiba-tiba.

19 Petani yang bekerja keras akan mendapat banyak makanan, tetapi orang yang membuang masa akan sentiasa miskin.

20 Orang jujur akan hidup bahagia, tetapi orang yang hendak cepat kaya, tidak akan terlepas daripada hukuman.

21 Bersikap berat sebelah adalah perbuatan yang salah, tetapi ada hakim berbuat demikian untuk menerima rasuah walaupun sedikit.

22 Orang yang kikir ingin cepat kaya. Dia tidak sedar bahawa kemiskinan segera menimpa dia.

23 Orang yang memberikan tegur ajar akhirnya lebih dihargai daripada orang yang memberikan pujian.

24 Sesiapa yang mencuri daripada ibu bapanya dan menyangka perbuatan itu bukan dosa sama juga dengan pencuri.

25 Sifat tamak mendatangkan kesusahan. Sesiapa yang bergantung kepada TUHAN akan berbahagia.

26 Orang yang mengikut pendapat sendiri adalah bodoh. Orang yang mengikut ajaran orang yang bijak akan selamat.

27 Sesiapa yang memberi kepada orang miskin tidak akan kekurangan. Sesiapa yang menutup mata terhadap orang miskin akan kena kutuk.

28 Apabila orang jahat menjadi penguasa, rakyat bersembunyi; tetapi apabila orang jahat binasa, orang adil akan memerintah lagi di merata tempat.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31