1 Sementara itu setiap hari Tobit menghitung-hitung waktu yang diperlukan untuk pergi ke Ragai dan pulang. Ketika sudah genap waktunya, dan anaknya belum lagi pulang, Tobit berkata,
2 “Mungkin dia tertahan di sana. Barangkali Gabael sudah meninggal sehingga tidak ada orang yang menyerahkan wang itu kepadanya.”
3 Maka Tobit mula berasa sedih.
4 Anna isterinya berkata kepada Tobit, “Pastilah anakku sudah mati!” Lalu dia mula menangisi dan meratapi Tobias.
5 “Malanglah aku, hai anakku; cahaya mataku, mengapa engkau kubiarkan pergi?”
6 Lalu Tobit berkata kepada isterinya, “Tenanglah, adik. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Dia sihat. Barangkali ada halangan sehingga mereka tertahan di sana. Orang yang menemaninya dapat dipercayai, lagi pula dia bersaudara dengan kita. Jangan sedih kerana dia. Dia akan lekas pulang.”
7 Tetapi Anna menjawab, “Diam! Jangan bohongi aku! Pasti anakku sudah mati!”Setiap hari Anna keluar rumah dan terus mengamati jalan yang dilalui Tobias waktu berangkat. Dia tidak mahu mendengar sesiapa pun dan hanya pulang sesudah matahari terbenam. Setiba di rumah dia tidak tidur, tetapi sepanjang malam menangisi dan meratapi anaknya.