Tobit 11 BMDC

Tobias Tiba di Rumah

1 Ketika mereka mendekati kota Kasirin tidak jauh dari kota Niniwe, Rafael berkata,

2 “Tobias, engkau tahu bagaimana keadaan bapamu waktu kita pergi.

3 Oleh sebab itu baiklah kita berdua mendahului isterimu dan menyiapkan rumah sebelum yang lain datang.

4 Jangan lupa membawa hempedu ikan.” Maka mereka berdua berangkat lebih dahulu, dan anjing Tobias mengikut mereka.

5 Sementara Anna sedang mengamati jalan yang harus dilalui anaknya,

6 dia melihat Tobias datang. Dia berseru kepada Tobit, “Lihat, anak kita datang! Kawannya juga!”

7 Sebelum sampai kepada bapanya, Rafael berkata kepada Tobias, “Mata bapamu akan sembuh.

8 Sapukanlah hempedu ikan pada matanya. Ubat itu akan meresap dan membuat lapisan putih mengelupas dari matanya, sehingga bapamu dapat melihat lagi.”

9 Anna lari menemui anaknya, lalu mendakapnya dan berkata, “Anakku, aku sudah melihat engkau kembali. Sekarang dapatlah aku mati dengan tenteram!” Maka menangislah dia.

Tobit Disembuhkan

10 Lalu Tobit berdiri, dan walaupun kakinya tersandung, dia keluar juga dari pintu halaman.

11 Tobias mendekati bapanya sambil memegang hempedu ikan. Ditiupnya mata bapanya, lalu sambil menopangnya, dia berkata, “Tabahkanlah hati ayah!” Kemudian hempedu ikan itu disapukannya pada mata bapanya, dan ubat itu dibiarkannya meresap.

12 Lalu dengan kedua-dua belah tangannya dikelupaskannya sesuatu dari hujung-hujung mata bapanya.

13 Tobit memeluk Tobias sambil menangis. Lalu dia berseru, “Aku melihat! Aku melihat engkau, anakku, cahaya mataku!

14 Terpujilah Allah! Pujilah Dia, kerana Dia besar! Terpujilah semua malaikat-Nya yang suci. Semoga Dia dengan kuasa-Nya melindungi kita. Terpujilah semua malaikat-Nya selama-lamanya. Tuhan sudah menyeksa aku dengan penyakit ini. Tapi sekarang aku dapat melihat semula Tobias, anakku.”

15 Lalu Tobias masuk ke dalam rumah. Hatinya penuh sukacita, dan dia memuji-muji Allah dengan suara nyaring. Kepada bapanya, dia menceritakan bahawa perjalanannya sudah berhasil baik. Tidak hanya wang dibawanya pulang, tetapi juga Sara anak Raguel, yang sudah menjadi isterinya. Dikatakannya bahawa isterinya sudah dekat pintu gerbang kota Niniwe dan segera akan datang.

Kedatangan Sara

16 Tobit sangat gembira, dan sambil memuji-muji Allah, dia keluar untuk menyambut anak menantunya di pintu gerbang kota. Ketika penduduk kota Niniwe melihat Tobit, mereka tercengang kerana dia berjalan sendirian dan tidak ada yang memimpinnya. Lalu kepada mereka semua, Tobit menceritakan bahawa Allah telah mengasihaninya dan menyembuhkan matanya.

17 Lalu Tobit menjumpai Sara isteri Tobias, dan menyambutnya dengan kata-kata ini, “Selamat datang, anakku! Terpujilah Allah yang menghantar engkau kepada kami. Allah telah memberkati bapamu, dan juga engkau serta Tobias anakku. Selamat datang ke rumahmu yang baru! Semoga engkau selalu diberkati, selalu sihat dan bahagia. Mari masuk, nak!”

18 Pada hari itu bergembiralah semua orang Yahudi yang tinggal di Niniwe. Ahikar dan Nadab, kemanakan Tobit, juga datang dan ikut bergembira bersama dengan mereka.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14